Benjamin (tengah) dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

Alor Setar: Seorang lelaki warga Afrika Selatan dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi, semalam, selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 1,598.3 gram, tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Dr Choo Kah Sing membuat keputusan di akhir kes pembelaan terhadap Benjamin William Hawkes, 46, berkuat kuasa semalam dan turut tidak membenarkan pelaksanaan hukuman penjara ditangguhkan untuk membolehkan rayuan ke Mahkamah Tinggi dikemukakan.

Benjamin yang bekerja sebagai pemandu dan berasal dari Durban, Afrika Selatan, kelihatan tenang di kandang tertuduh ketika keputusan dibacakan.

Mengikut kertas pertuduhan, Benjamin didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA), dekat sini, kira-kira jam 9 malam, 21 Julai 2013.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 39b(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.

Choo ketika prosidingnya memberitahu, mahkamah sebulat suara menjatuhi hukuman gantung sampai mati ke atas tertuduh selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

“Dalam kes pembelaan, tertuduh hanya menafikan dadah itu miliknya dan tindakan itu tidak cukup kuat untuk menimbulkan keraguan munasabah.

“Justeru, mahkamah menjatuhi hukuman gantung sampai mati ke atas tertuduh kerana kesalahan mengedar dadah berbahaya,” katanya.

Tertuduh ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Langkawi selepas disyaki membawa barang terlarang dalam bagasinya ketika melalui lorong pemeriksaan.

Difahamkan, sebaik menyedari kegiatannya disedari pihak berkuasa, tertuduh cuba melarikan diri, namun dapat ditahan.

Pemeriksaan ke atas bagasi dibawa tertuduh menemui Methamphetamine disimpan dalam beg bimbit hitam disorok di dinding kiri dan kanan bagasi berkenaan.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izhanudin Alias manakala tertuduh diwakili peguam Burhanudeen Abdul Wahid.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2016 @ 7:18 AM