SEBANYAK 18 negara terbabit dalam mesyuarat ASED dan Malaysia dilantik Pengerusi Pendidikan ASEAN selama dua tahun.
Nur Lela Zulkipli
nurlela@hmetro.com.my


Petaling Jaya: Pembabitan negara dalam Mesyuarat Peringkat Menteri-Menteri Pendidikan ASEAN (ASED) Ke-9 membuka laluan bagi memantau kerjasama serantau dengan komprehensif, sekali gus menentukan hala tuju ASEAN dengan lebih terperinci dalam bidang pendidikan.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, usaha berkenaan dibuat berpandukan Pelan Induk Sosio-budaya ASEAN 2025 selaku Pengerusi Pendidikan ASEAN.

“Kita akan menerajui dalam merancang, membuka laluan, menjalin kolaborasi dengan negara ASEAN+3 (Jepun, China dan Korea) (APT) dan negara Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) yang terdiri daripada Amerika Syarikat, India, New Zealand, Russia dan Australia.

“Malaysia juga akan memantau kerjasama serantau dalam bidang pendidikan dengan lebih komprehensif dan selari dengan sasaran Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) 2030 yang dipersetujui di peringkat global terutama dalam kualiti pendidikan serta Pelan Komuniti ASEAN 2025.

“Selain itu, pengkhususan Malaysia pula adalah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi 2015-2025,” katanya sebelum mempengerusikan sesi kedua mesyuarat ASED ke-9, di sini, semalam.

Katanya, Malaysia juga membuka lembaran baru selepas tamat tempoh 15 tahun Matlamat Pembangunan Milenium (MDGs) dan Pendidikan Untuk Semua (EFA) pada tahun lalu.

Terdahulu, Mahdzir berkata dalam ucaptama ASED ke-9, kerjasama antara negara ASEAN+3 (APT) dan EAS disifatkan penting bagi mengembangkan lagi bidang pendidikan di luar negara anggota ASEAN dalam usaha membina kapasiti, membangunkan modal insan serta daya saing serantau.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2016 @ 7:08 AM