SEBAHAGIAN wakil penumpang berkumpul secara aman di hadapan cawangan syarikat penerbangan Rayani Air di Seksyen 15, Shah Alam.

Shah Alam: “Saya terpaksa mengeluarkan wang hampir sekali ganda lagi untuk membeli tiket penerbangan ke Kota Kinabalu selepas syarikat penerbangan patuh syariah berkenaan gagal membayar balik tiket yang sudah dibeli,” kata Mas Ayu Mohd Yusri, 32.

Mas Ayu berkata, dia membelanjakan lebih RM3,000 bagi tiket penerbangan untuk 12 ahli keluarganya bercuti ke Kota Kinabalu, Sabah pada September ini.

“Kami tiada pilihan selain terpaksa membeli tiket dengan syarikat penerbangan lain kerana hotel sudah ditempah. Saya memilih Rayani Air kerana tertarik dengan konsep patuh syariah namun kecewa dengan tindakan mereka yang tidak profesional.

“Saya datang dari Melaka semata-mata ingin bersemuka dengan wakil Rayani Air, namun tiada seorang pun kakitangannya tampil memberi penjelasan selepas beberapa panggilan telefon dibuat,” katanya ditemui di perkarangan pejabat cawangan syarikat itu di sini, semalam.

Seramai 40 penumpang Rayani Air berhimpun di pejabat cawangan itu untuk menemui kakitangan syarikat penerbangan terbabit bagi mengetahui status pemulangan wang pembatalan penerbangan mereka petang semalam.

Hasrat mereka bagaimanapun tidak tercapai kerana tiada kakitangan daripada syarikat penerbangan itu tampil memberi penjelasan.

Sementara itu, wakil penumpang, Nik Azida Nik Mahmood, 40, berkata, perjumpaan secara aman itu bagi mendapatkan penjelasan selepas 30 hari janji pembayaran pulangan akan dibuat oleh Rayani Air kepada penumpangnya yang dimuatkan pada status laman sosial Facebook (FB) syarikat penerbangan patuh syariah terbabit.

“Perjumpaan bertujuan membuat tuntutan berhubung bayaran balik harga tiket penerbangan selepas kes pembatalan penerbangan bulan lalu.

“Anggaran jumlah kerugian lebih RM150,000, ia membabitkan 200 penumpang dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya.

Sebelum itu, kumpulan berkenaan membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 15 bagi meminta pihak berkuasa menyiasat hal terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2016 @ 8:46 AM