SIVAKUMAR yang cedera kini dirawat di Hospital Kulim.
Azahar Hashim
am@hmetro.com.my

Kulim: Seorang lelaki patah lengan kiri dan retak tulang bahu selepas dirempuh sebuah troli ketika menuruni eskalator sebuah pasar raya di Taman Lembah Impiana di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 malam, mangsa, M Sivakumar, 46, bersama dua anak perempuannya, S Khirubashini, sembilan tahun dan S Priyashini, 15, cedera selepas dirempuh sebuah troli dipenuhi barang yang berada di belakang mereka ketika menuruni eskalator.

Sivakumar berkata, dia tidak tahu siapa yang menolak troli itu.

“Pada mulanya saya menyuruh anak-anak turun eskalator dengan segera selepas melihat troli itu. Namun tiba-tiba saya terdengar jeritan orang ramai menyuruh kami berlari.

“Tidak sampai beberapa saat, troli itu terus merempuh belakang badan saya serta Khirubashini. Akibatnya saya terjatuh,” katanya.

Menurutnya, seorang lagi anaknya, Priyashini sempat menyelamatkan diri.

“Dalam keadaan kesakitan, saya mencari seorang lagi anak saya (Khirubashini) sebelum menemuinya di bawah troli itu,” katanya.

Sivakumar berkata, barang yang berada di dalam troli itu juga bertaburan di atas lantai sebelum orang ramai datang membantu dan menghantar mereka ke hospital.

“Khirubashini mengalami bengkak di kepala dan perlu menjalani pemeriksaan lanjut manakala saya mengalami patah di lengan kiri serta retak tulang bahu.

“Saya tidak sangka kejadian ini boleh berlaku hingga menyebabkan kecederaan serius,” katanya.

Katanya, dia akan membuat laporan polis sebaik keluar dari hospital dan difahamkan pengurusan pasar raya terbabit sudah membuat laporan di Balai Polis Kulim.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Daerah Kulim Staf Kanan (PA) Mohd Fadhil Fahmi Zaini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian dan mengesahkan kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2016 @ 5:33 AM