KEADAAN khemah yang uzur diduduki mangsa banjir di Kampung Bertam Baru.
RUMAH baru mangsa banjir di peringkat akhir pembinaan.
Ramli Ibrahim
am@hmetro.com.my


Gua Musang: Lebih setahun tinggal di khemah, kini empat keluarga mangsa banjir di Kampung Bertam Baru, di sini boleh mengucapkan selamat tinggal kepada penempatan sementara itu.

Pada Disember 2014, rumah mereka antara 29 keluarga yang hilang atau musnah akibat banjir dan terpaksa menghuni khemah untuk tempoh jangka pendek sehingga kediaman baru disiapkan.

Rumah kekal mereka dibina kerajaan di Kampung Jambatan Bengkok, tidak jauh dari pekan Bertam dan boleh diduduki menjelang Ramadan ini.

Sebelum ini, empat keluarga terbabit antara mangsa terakhir setia menghuni khemah sementara disebabkan tidak mampu menyewa rumah lain lebih selesa.

Malah, seorang mangsa, Nurul Nidia Mohamed, 26, pernah melahirkan anak kembar perempuannya ketika menetap di khemah itu.

Kini, usia bayi diberi nama Nor Bela Aisyah Zuradi dan Nor Airis Aisyah berusia setahun empat bulan.

“Mereka tidur dalam buaian disangkut di dalam khemah ini untuk tidur. Kami tidak mampu sewa rumah lain kerana suami Zuraidi Mohamad, 26, hanya bekerja kampung.

“Alhamdulillah selepas menunggu lama, rumah kekal kami siap. Saya juga siap mengemas semua barang dan hanya menunggu masa untuk menerima kunci rumah sahaja.

“Kampung Jambatan Bengkok itu pula terletak satu kilometer dari tapak asal rumah kami yang hanyut ketika banjir lalu,” katanya.

Nurul Nidia berkata, walaupun tinggal di khemah sementara, nasib mereka terbela kerana mendapat perhatian pelbagai pihak dan bantuan daripada kerajaan.

“Cuma orang mungkin kasihan melihat kami masih menghuni khemah. Itu ujian Allah SWT untuk kami,” katanya.

Seorang lagi mangsa banjir yang tinggal di dalam khemah, Norihan Mohamed, 38, pula berkata, pengalamannya tinggal dalam penempatan sementara tidak mungkin dilupakan kerana perlu bersesak dengan lima anak.

Katanya, suami, Amay Selamat Tulasap, 47, yang bekerja kampung dengan pendapatan RM700 sebulan tidak memungkinkan mereka tinggal di rumah sewa kerana perbelanjaan tinggi dan semua anak masih bersekolah.

“Saya sekeluarga sudah tidak sabar masuk rumah baru yang lebih selesa kerana khemah ini semakin uzur menampung kami tujuh beranak,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Datuk Mat Yusoff Ab Ghani berkata, 29 keluarga berpindah ke rumah kekal di Kampung Jambatan Bengkok Ramadan ini.

Beliau berkata, sepanjang lebih setahun insiden hanya empat kekal dalam khemah manakala selebihnya berpindah ke rumah sewa atau saudara-mara.

“Dalam bancian, 29 keluarga yang layak terima rumah kekal ini termasuk empat yang menghuni khemah sementara. Mereka akan masuk rumah baru, Ramadan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2016 @ 5:44 AM