myMetro

Kuala Lumpur: Dua lelaki kempunan menikmati hasil barangan curi apabila ditangkap polis dalam tempoh tidak sampai 24 jam selepas menyamun pelbagai barangan dari kereta milik pelajar perempuan berdekatan Plaza Rah, Jalan Raja Abdullah, di sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian jam 6.15 petang itu, seorang siswi institusi pengajian tinggi kehilangan barangan berharga dan dokumen peribadi selepas cermin kereta Perodua Viva miliknya dipecahkan.

Sumber polis berkata, pihaknya menerima aduan daripada mangsa berusia 20 tahun itu di Balai Polis Jalan Tun Razak, di sini, sejam selepas kejadian.

Katanya, pihaknya dimaklumkan mangsa kerugian hampir RM4,000 selepas komputer riba, telefon bimbit, cakera keras, pemacu simpanan data, buku nota dan kad pelajar yang ditinggalkan di dalam kereta dicuri.

“Susulan kejadian, polis melakukan siasatan dan berdasarkan maklumat kami menahan seorang lelaki berusia 36 tahun di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Damai, di sini, pada Sabtu lalu, jam 3.15 petang.

“Hasil soal siasat dilakukan terhadap suspek terbabit membawa kepada penangkapan rakannya iaitu lelaki berusia 32 tahun di Flat Keramat Jaya, Sri Perlis 2, Keramat sejam selepas tangkapan pertama.

“Polis menemui beberapa barangan dipercayai milik pelajar berkenaan di rumah itu,” katanya, semalam.

Menurut sumber, dua suspek berkenaan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

“Polis turut menyiasat kemungkinan dua suspek terbabit dalam beberapa kes sama di kawasan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2016 @ 5:40 AM