JENNY (tengah) menyertai pameran sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di UMS.
Ardyhansah Amat
ardyhansah@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Penganjuran julung kali Festival Hari Guru (FHG) di negeri ini dilihat mampu memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai peranan sebenar seorang pendidik.

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Marudu Jenny Gai berkata, FHG membolehkan orang ramai melihat lebih dekat aktiviti dilakukan pendidik hari ini selain menyaksikan pelbagai pameran berkaitan perguruan dan pendidikan.

“Pengunjung boleh melihat pameran daripada sekolah yang berjaya melakar kejayaan baik dari dalam negeri mahupun peringkat kebangsaan.

“Malah, ibu bapa berpeluang berinteraksi dengan guru berkaitan aktiviti persekolahan termasuk kejayaan diraih sekolah mereka,” katanya ketika ditemui di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, semalam.

Jenny berkata, interaksi ini membolehkan ibu bapa memahami peranan guru yang bukan saja bertanggungjawab menyampaikan pendidikan dalam kelas, tetapi membantu pelajar berfikiran lebih kreatif.

Pendapat Jenny disokong guru Sekolah Pendidikan Khas Pekan Tuaran Yahya Mat yang menyifatkan FHG adalah platform terbaik kepada ibu bapa untuk lebih mengenali peluang disediakan pihak sekolah terhadap anak mereka.

“Mungkin tidak ramai memahami atau mengetahui fungsi sekolah pendidikan khas diperkenalkan kerajaan.

“Melalui FHG, ibu bapa terutama mereka yang dikurniakan anak istimewa dapat memahami operasi sekolah pendidikan khas, sekali gus memastikan anak masing-masing memperoleh pendidikan sempurna,” katanya.

Bagi Guru SMK Taman Ria Tuaran Kamisah Mohd Khamis, penganjuran FHG sememangnya dinantikan warga pendidik di negeri ini.

“Guru tempatan dari negeri ini sebenarnya mempunyai banyak pengalaman dan berbakat besar dalam dunia pendidikan.

“Ini termasuk pelbagai cabaran dihadapi terutama membabitkan kawasan pedalaman dan luar bandar sehingga menjadikan mereka sangat luar biasa,” katanya.

Kamisah berkata, pihaknya berharap lebih banyak perubahan positif dapat diterapkan dalam sistem pendidikan bagi menjadikannya lebih baik termasuk membabitkan kemudahan di sekolah.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Maimunah Suhaibul berkata, dianggarkan lebih 6,000 guru dari seluruh negara berhimpun di Dewan Canselor UMS sempena sambutan Hari Guru yang akan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2016 @ 5:08 AM