KEADAAN mesin ATM yang diletupkan dalam kejadian, semalam.
Mohd Ruzaini Zulkepli
hmkk@hmetro.com.my


Beaufort: Hanya 10 minit tempoh diperlukan dua individu untuk meletupkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan mengheret keluar peti besi sejauh 20 meter sebelum melarikan wang tunai berjumlah RM70,000 dalam kejadian di sebuah bank berhampiran pekan Membakut, semalam.

Dalam kejadian jam 1.50 pagi, dua suspek bertopeng dan berpenutup kepala dikatakan memasuki ruang menempatkan mesin ATM, manakala seorang lagi rakan mereka menunggu dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) berhampiran bank berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Asisten Superintendan Wan Kim Guan berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bank, salah seorang suspek dipercayai menggunakan besi paip sepanjang 20 sentimeter (sm) untuk menebuk lubang pada mesin ATM sebelum meletupkannya menggunakan bom buatan sendiri.

“Berdasarkan rakaman, polis mendapati suspek menggunakan besi paip untuk menebuk lubang pada bahagian tengah mesin ATM.

“Mereka kemudian memasukkan bahan letupan melalui batang paip dan meletupkannya,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort, semalam.

Mengulas lanjut, Wan berkata, dua suspek itu kemudian mengheret peti besi sejauh 20 meter dan melarikan wang tunai yang ada didalamnya.

“Peti besi itu ditemui dalam keadaan kosong berhampiran semak berhampiran bank berkenaan.

“Polis yakin suspek berjaya melarikan wang tunai berjumlah RM70,000 yang ada dalam peti besi ATM ini,” katanya.

Menurut Wan, polis yakin kumpulan penjenayah ini terlebih dahulu sudah meninjau keadaan bank di pekan ini sebelum nekad meletupkannya.

“Berdasarkan rekod, anggota polis ada melakukan rondaan di sekitar bank ini dan mencatat rekod kehadiran pada jam 1 pagi.

“Polis percaya suspek mula bertindak selepas polis beredar dari bank berkenaan,” katanya.

Wan berkata, orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu dan memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta segera tampil bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 436/380 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2016 @ 6:01 AM