DR Abdul Aziz menunjukkan komponen motosikal yang ditemui.

Sungai Buloh: Curi, lerai dan buang dalam sungai. Itu cara pantas digunakan anggota sindiket empat budak jahat aktif mencuri motosikal di daerah ini.

Taktik itu digunakan suspek sejak enam bulan lalu bertujuan mendapatkan wang hasil jualan alat ganti kenderaan dicuri.

Bagaimanapun, jenayah sindiket itu terbongkar apabila polis menahan empat lelaki dipercayai terbabit dengan kegiatan curi motosikal sebelum menemui 14 rangka kenderaan di dalam sungai.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Dr Abdul Aziz Awang Darus berkata, pihaknya menahan seorang suspek 30 April lalu sebelum menahan tiga lagi rakan suspek jam 8 malam di Kampung Paya Jaras, di sini.

Beliau berkata, semua suspek berusia 20-an itu ditahan selepas aktif mencuri motosikal Yamaha 125ZR dan Honda EX-5 di sekitar daerah itu.

“Suspek menunjukkan lokasi rangka motosikal dibuang di sungai tidak jauh dari lokasi suspek ditahan.

“Mereka curi motosikal dan jual komponen serta alat ganti pada harga murah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, di sini, semalam.

Katanya, semua suspek direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 379a Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah curi kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2016 @ 5:23 AM