MANGSA yang terjatuh ke longkang ketika pulang kerja.
Mohd Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Seorang wanita yang tergelincir jatuh ke dalam longkang dihanyutkan arus deras hingga menyebabkan mangsa mati lemas.

Mayat mangsa berusia 42 tahun itu ditemui mati dalam keadaan menyayat hati apabila mayat itu tersangkut pada dahan pokok kering berhampiran Pangsapuri Suria Kip, Kepong, di sini, jam 5.15 petang kelmarin.

Difahamkan tragedi berlaku ketika mangsa warga Indonesia dalam perjalanan pulang ke rumahnya.

Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, mangsa adalah pekerja di sebuah premis berhampiran lokasi kejadian.

“Ketika kejadian, mangsa berjalan di laluan pejalan kaki bersebelahan longkang itu. Secara tiba-tiba mangsa tergelincir sebelum terjatuh ke dalam longkang yang mempunyai kedalaman tiga meter.

“Hujan lebat yang berlaku menyebabkan air longkang deras. Akibatnya mangsa dihanyutkan arus 100 meter sebelum tersangkut pada dahan pokok kering di dalam longkang itu,” katanya.

Menurutnya, rakan mangsa yang melihat kejadian itu cuba menyelamatkan mangsa namun gagal berikutan arus terlalu deras.

“Pasukan kami yang tiba selepas mendapat panggilan kecemasan mendapati mayat mangsa diangkat ke atas laluan pejalan kaki oleh orang ramai di lokasi.

“Pasukan perubatan mengesahkan mangsa maut di tempat kejadian sebelum dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk tindakan susulan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2016 @ 7:17 AM