MOHAMAD Abdullah bersama Mas Ermieyati pada sidang media, semalam.
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


Shah Alam: Berpegang kepada misi untuk menjadi pakar rujuk dalam industri hospitaliti pada masa depan, Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan Universiti Teknologi MARA (UiTM) menganjurkan program ‘Makanan Antarabangsa dan Pelancongan, Inovasi, Invensi dan Kreativiti (iFaTIIC 2016).

Program dua hari bermula semalam hingga hari ini julung kali diadakan sejak fakulti berkenaan berpindah ke kampus UiTM Puncak Alam.

Penasihat iFaTIIC 2016, Prof Madya Dr Mohamad Abdullah Hemdi berkata, matlamat utama program adalah untuk menggalakkan usaha memperkayakan hasil kajian dan inovasi dalam kalangan penuntutnya berkaitan hospitaliti serta makanan.

Menurut beliau, bertemakan ‘Membudayakan, Inovasi, Invensi dan Kreativiti dalam Makanan dan Pelancongan’, iFaTIIC 2016 diharap mampu menaikkan nama fakulti di peringkat antarabangsa.

“Antara isi utama program adalah memaparkan ciptaan atau reka bentuk yang dihasilkan penuntut serta penyelidik yang berpotensi untuk diketengahkan ke pasaran.

“Selain itu, program ini boleh meningkatkan prospek pengkomersialan hasil daripada ciptaan inovasi dan produk selepas ia dipaparkan,” katanya pada sidang media selepas perasmian iFaTIIC 2016 semalam.

Majlis dirasmikan Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Sementara itu, Mas Ermieyati dalam ucapannya berkata, usaha UiTM untuk meningkatkan budaya kreativiti dalam kalangan penuntutnya menerusi iFaTIIC 2016 perlu dipuji.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2016 @ 6:47 AM