NEELOFA meraikan kejayaan bersama penyokongnya pada malam Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-29 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, malam tadi.
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


Putrajaya: Pelakon dan pengacara, Neelofa memenangi gelaran Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular BH ke-29 (ABPBH29) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini malam tadi.

Dia meraih sebanyak 212,829 undian, sekali gus mengenepikan saingan daripada lima artis lain dalam kelompok finalis yang mendapat undi tertinggi kategori utama itu.

Berikutan kemenangan itu, Neelofa memenangi hadiah utama kereta Volkswagen Passat tajaan Volkswagen Group Malaysia Sdn Bhd dan trofi.

Trofi Bintang Paling Popular disampaikan kelab peminatnya, Neelofa Team pada majlis kemuncak ABPBH29 di sini, yang bertemakan #Respek.

Majlis gilang-gemilang yang berlangsung tiga jam itu turut disiarkan secara langsung menerusi TV3 dan stesen radio rasmi Kool FM.

Terdahulu, Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat diberikan kepada Fauziah Datuk Ahmad Daud.

Pemenang kategori lain termasuk Artis Baru Lelaki Popular (Sufi Rashid), Artis Baru Wanita Popular (Mira Filzah), Penyanyi Wanita Popular (Adira), Penyanyi Lelaki Popular (Aizat), Penyampai Radio Popular (DJ Lin), Artis Versatil Popular (Ifa Raziah), Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular (Wings), Artis Komedi Popular (Abam), Pengacara TV Popular (Neelofa), Pelakon TV Wanita Popular (Emma Maembong), Pelakon TV Lelaki Popular (Sharnaaz Ahmad), Pelakon Filem Wanita Popular (Fathia Latiff), Pelakon Filem Lelaki Popular (Sharnaaz Ahmad), Artis YouTube Popular (Siti Nordiana), Artis Trending Popular (Ayda Jebat), Artis Aksi Selfie Popular (Saharul Ridzwan) dan Artis Ikon Respek (Datuk Aznil Haji Nawawi).

Majlis turut diserikan dengan persembahan artis antaranya Ziana Zain, Siti Nordiana, Liza Hanim, Datuk Jamal Abdillah, Misha Omar, Indah Ruhaila, Syamel, Shiha, Farez Mentor Milenia, Hazami, Dayang Nurfaizah, penyanyi dari Indonesia, Isyana Sarasvati dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2016 @ 5:05 AM