Syameel Shafiy dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah selepas terbabit dalam kemalangan di Persiaran Hamzah Alang.
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my

Klang: Akibat kecuaian orang lain, pasangan suami isteri dan cucu mereka berusia tiga tahun selain seorang penunggang motosikal cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kereta dan motosikal di Persiaran Hamzah Alang di sini, jam 11 malam kelmarin.

Ketiga-tiga mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Sungai Serdang dekat sini, dengan menaiki Perodua Myvi selepas minum di restoran di pekan Meru.

Ketika dalam perjalanan pulang, Hyundai Matrix yang berada di depan mereka dan dipandu secara berbahaya bergesel dengan Proton Wira dari arah bertentangan.

Berikutan itu, pemandu Proton Wira terbabit gagal mengawal keretanya sebelum berpusing dan bertembung dengan Perodua Myvi dinaiki mereka.

Seorang penunggang motosikal yang berada di belakang Perodua Myvi itu gagal mengelak mengakibatkannya terjatuh dan patah kedua-dua kaki.

Keempat-empat mangsa berkenaan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Sementara itu, ibu kanak-kanak berkenaan, Fatin Ainaa Ahmad Faudzi, 28, berkata, anaknya, Syameel Shafiy Noor Shafizan patah kedua-dua kaki serta cedera di muka manakala ibunya patah tangan kanan selain mengalami kecederaan dalaman.

Fatin Ainaa berkata, bapanya patah tangan dan cedera pada tengkuk.

“Ketika kejadian, saya tidak bersama mereka kerana keluar dengan adik-beradik lain.

“Bapa memaklumkan Hyundai Matrix itu dipandu secara berbahaya sebelum bergesel dengan Proton Wira. Saya difahamkan pemandu Hyundai Matrix terbabit melarikan diri sejurus kemalangan,” katanya ditemui di HTAR, semalam.

Katanya, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara semalam berkaitan kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2016 @ 5:39 AM