RAMLI dibantu anggota JPAM ke hospital.
myMetro

Kuala Pilah: Seramai 10 penumpang sebuah bas yang dalam perjalanan dari Bahau, Jempol, dekat sini, menuju ke Seremban cemas apabila pemandunya diserang strok dalam kejadian di Pekan Kuala Pilah, di sini, kelmarin.

Jurucakap polis berkata, dalam kejadian jam 4.53 petang, pemandu bas, Ramli Mohd Sarip, 69, mengambil penumpang di Pekan Bahau untuk dibawa ke Seremban.

Katanya, sebaik tiba berhampiran Bangunan MARA, di sini, Ramli secara tiba-tiba diserang strok menyebabkan kenderaan dipandu hilang kawalan.

“Bas itu hampir merempuh beberapa kenderaan lain di hadapan menyebabkan kira-kira 10 penumpang panik.

“Mujur seorang daripada penumpang bertindak pantas dengan bergegas ke tempat duduk pemandu dan mengalihkan warga emas terbabit.

“Sebaik pemandunya dialihkan, bas dapat dikawal dan kemalangan berjaya dielak,” katanya.

Menurut jurucakap itu, dalam keadaan cemas beberapa penumpang wanita menjerit ketakutan menyaksikan insiden tidak diduga.

“Bas itu akhirnya dapat dihentikan sebelum pemandunya dibawa keluar,” katanya.

Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) daerah, Mohd Zameer Faiz Kamaruzaman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.15 petang.

Katanya, sehubungan itu tiga anggota dan sebuah ambulans dikerahkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, anggota yang melakukan pemeriksaan mendapati keadaan badan, kaki serta tangan pemandu bas terbabit lemah serta kaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2016 @ 5:16 AM