DINDING tandas yang dipecahkan penjenayah.
myMetro

Ampang: Tebuk dinding tandas sebelum merangkak masuk ke dalam pusat beli-belah untuk memecahkan mesin juruwang automatik (ATM).

Itu antara perancangan teliti digunakan penjenayah Geng Oxy yang berjaya melarikan wang tunai berjumlah RM200,000 dari sebuah mesin ATM diletakkan di dalam sebuah pusat beli-belah di Taman Dagang Permai, di sini, jam 3 pagi semalam.

Suspek kemudian dikesan membawa peralatan khas sebelum memecahkan mesin ATM menggunakan gas oxy-acetylene.

Dalam kejadian berkenaan, penjenayah itu turut cuba memecahkan sebuah lagi mesin ATM bersebelahan, namun gagal sebelum melarikan diri.

Ketua Polis Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, hasil siasatan awal mendapati penjenayah menceroboh masuk ke dalam premis pasar raya itu melalui dinding tandas yang dipecahkan.

Katanya, penjenayah kemudian membawa masuk peralatan pemotong gas ‘oxy-acetylene’ untuk membuka mesin ATM itu.

“Berdasarkan siasatan forensik terdapat kesan potong pada mesin ATM itu sebelum suspek melarikan kotak berisi wang di dalam mesin itu.

“Beberapa kotak penyimpanan wang di dalam mesin ATM itu turut ditemui di dalam tandas di pasar raya itu dipercayai ditinggalkan penjenayah,” katanya.

Menurutnya, kejadian disedari kakitangan pasar raya itu ketika mereka membuka premis perniagaan sebelum melaporkannya kepada polis.

“Polis masih menjalankan siasatan termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk membantu siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana mencuri di dalam bangunan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2016 @ 6:01 AM