ANIFAH bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo (empat dari kiri) pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri dan Panglima-Panglima Angkatan Tentera Indonesia, Malaysia dan Filipina di Jogjakarta, Indonesia, semalam.

Putrajaya: Malaysia, Indonesia dan Filipina mencapai kata sepakat mewujudkan satu rangka kerja bagi mengadakan rondaan di kawasan perairan sempadan di ketiga-tiga negara bertujuan membanteras kes penculikan yang semakin membimbangkan.

Kementerian Luar dalam kenyataan, semalam berkata, persetujuan itu dicapai hasil Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri dan Panglima-Panglima Angkatan Tentera Indonesia, Malaysia dan Filipina di Jogjakarta, Indonesia, semalam dan Malaysia diwakili Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Menurutnya, wakil ketiga-tiga negara juga mahu tindakan segera diambil untuk melaksanakan langkah yang dipersetujui bersama itu.

“Pegawai bagi ketiga-tiga negara mengadakan pertemuan secepat mungkin bagi merangka Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi rangka kerja rondaan perairan itu.

“Selain itu, Malaysia juga menggariskan beberapa kepentingan untuk menangani punca dan faktor yang menyumbang kepada peningkatan jumlah kes penculikan di kawasan perairan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Katanya, mesyuarat semalam dibuat atas jemputan Menteri Luar Negeri Republik Indonesia bertujuan membincangkan usaha bagi mengukuhkan kerjasama dan koordinasi di antara ketiga-tiga negara dalam meningkatkan keselamatan maritim di perairan masing-masing.

Dalam pada itu, Malaysia turut menyatakan kebimbangan mengenai peningkatan bilangan aktiviti penculikan terutama sejak beberapa minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2016 @ 9:10 AM