Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


Ipoh: Sindiket pengedaran dan pemprosesan dadah dikesan menjadikan kuil sebagai makmal mini bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Kegiatan itu terbongkar selepas polis menahan lima suspek dan merampas syabu dianggar bernilai RM1.14 juta di kuil di tepi Lebuhraya Ipoh-Lumut, dekat Jelapang, di sini, Isnin lalu.

Dalam serbuan jam 6.30 petang, suspek ditahan di kuil itu dan pemeriksaan menemui dadah serta peralatan memproses di ruang rumah ibadat berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan berkata, suspek berusia antara 19 hingga 46 tahun dan pemeriksaan menemui syabu seberat empat kilogram (kg) yang siap diproses.

“Serbuan dijalankan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh yang menemui minyak syabu dengan anggaran 11.9 kg dan seguni ‘caustic soda’.

“Pelbagai peralatan dipercayai memproses dadah dirampas antaranya dapur elektronik, penimbang digital, cecair aseton, silinder kaca dan termometer,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Menurutnya, kumpulan penjenayah terbabit dipercayai menggunakan rumah ibadat itu sebagai makmal mini sejak sebulan lalu namun bukan sepanjang masa kerana kuil berkenaan masih digunakan orang ramai.

“Kumpulan penjenayah ini dipercayai menggunakan kuil itu kerana ia jarang dikunjungi dan tersembunyi.

“Polis mengambil keterangan pihak kuil bagi membantu siasatan namun setakat ini semua yang ditahan tiada kaitan dengan kuil berkenaan,” katanya.

Hasnan berkata, polis menyita lima motosikal membabitkan empat Honda EX5 dan Honda Wave yang keseluruhannya dianggar bernilai RM15,500.

“Semua suspek yang ditahan adalah buruh dan penganggur berasal dari Perak yang mempunyai rekod kesalahan lampau dadah dan ujian saringan air kencing mendapati positif dadah.

“Mereka direman tujuh hari sehingga 9 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori,” katanya.

Menurutnya, semua dadah yang dirampas disyaki untuk diedar sekitar negeri ini dan boleh dibekalkan kepada 40,000 penagih.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2016 @ 9:07 AM
IPOH 05 MAY 2016. Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan (dua kanan) bersama Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Narkotik Perak, Supt Abdul Latif Mehat (dua kiri) menunjukkan empat kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM1.14 juta dalam serbuan di sebuah kuil berhampiran Lebuh Raya Ipoh-Lumut dekat Jelapang petang Isnin lalu yang turut menjadikan kuil berkenaan sebagai makmal memproses dadah. NSTP/MUHAIZAN YAHYA.