NUR Azierah dan Muhammad Irfan pada majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Pelajar Baitulmal MAIWP.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Terima kasih Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kerana lebih 10 tahun menanggung pengajian saya sejak dari tadika.

“Semoga saya juga menjadi salah seorang yang membayar zakat satu hari nanti,” kata Penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik Pelajar Baitulmal MAIWP Nur Azierah Ansar Ahmad Khan, 18, dari Taman Ikan Mas, Bandar Tun Razak, di sini.

Nur Azierah yang mendapat 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lalu berhasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang perubatan.

“Melalui bantuan zakat pendidikan, ia menjadi sebahagian dorongan kepada saya untuk terus berjaya selain pengaruh ibu dan ayah.

“Alhamdulillah saya menjadi penerima zakat Baitulmal sejak dari tadika dan bantuan ini sememangnya meringankan tanggungan ibu bapa saya,” katanya ditemui pada majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Pelajar Baitulmal MAIWP, di sini, semalam.

Majlis berkenaan dirasmikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menggantikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Zakuan Sawai, Pengarah JAWI merangkap Setiausaha MAIWP Paimuzi Yahya dan Mufti Wilayah Persekutuan Prof Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Pada majlis itu seramai 225 pelajar terpilih sebagai penerima anugerah mengikut peringkat pencapaian pelajaran di mana setiap pelajar menerima wang tunai dan sijil penghargaan.

Penerima anugerah bagi kategori SPM Muhammad Irfan Aghna Mohd Noraffendi, 18, berkata, sejak menerima zakat pendidikan tahun lalu, dia tidak lagi menyusahkan ibu bapanya membelikan bahan bacaan dan kelengkapan sekolah.

“Syukur, zakat berjumlah RM900 setahun yang diterima membantu meringankan beban emak dan ayah terutama dalam menguruskan hal persekolahan saya.

“Selain duit zakat digunakan beli buku rujukan, baki yang ada saya guna untuk perbelanjaan harian di sekolah kerana tidak mahu susahkan emak dan ayah,” katanya.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Setapak Indah itu berkata, dia berhasrat menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan selepas memperoleh 8A dalam peperiksaan SPM, tahun lalu.

Sementara itu, Dr Asyraf Wajdi yang membacakan teks ucapan Jamil Khir berkata, sembilan daripada 28 skim bantuan zakat untuk pendidikan anak golongan asnaf bermula daripada peringkat persekolahan sehingga ke pengajian tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mei 2016 @ 8:36 AM