Najib mengangkat tangan Mong (dua dari kiri) selepas majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang Faizal di Kampung Engkrimut.
Nasharuddin MuhammadShamran SarahanRabi ‘Atul ‘Adawiyah IsmailYusmizal Dolah AlingMohd Rizal AbdullahEkhwan Haque Fazlul HaqueNurul Hidayah BahaudinMohd Aidil AbdullahKhalid LatipHarun Yahya dan Norsyazwani Nasri dan Sandra Albertz.
am@hmetro.com.my

Sri Aman: Rakyat Sarawak termasuk di Sri Aman perlu terus memberikan sokongan padu kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem untuk membawa lebih banyak pembangunan di negeri ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, di bawah kepemimpinan Adenan, hanya dalam tempoh dua tahun beliau menjadi Ketua Menteri, pelbagai inisiatif dilaksanakan untuk rakyat Sarawak.

“Kita nak (Adenan) kerana dalam masa dua tahun, 53 benda (inisiatif) yang dia buat. Tol dihapuskan, cukai pintu dikurangkan, jalan dibuat dengan bantuan Kerajaan Pusat, terlalu banyak dibuat, baru dua tahun.

“Kalau dalam masa lima tahun, tentu banyak lagi yang boleh dibuat. Jadi kita tak usah panjang cerita, calon sini (pembangkang) pun nak tarik diri, jadi kita tak boleh letak harapan kepada calon nak tarik diri,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang Faizal Edmund Minit di Kampung Engkrimut, di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat dan calon BN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Begunan Datuk Mong Dagang.

Mengenai calon BN di DUN Bukit Begunan, Najib berkata, “Saya nak nyatakan sokongan saya sebagai ‘Apai Besai Menua Malaysia’. Datuk Mong orang lama dan dikenali di kawasan ini. Saya yakin BN menang pada 7 hari bulan nanti.

“Malah, saya diberitahu calon PKR di sini hampir tarik diri. Cuma dari segi teknikal ada masalah sikit, jika tidak sudah tentu Datuk Mong menang tanpa bertanding,” katanya.

Menurutnya, tidak seperti pembangkang, BN sentiasa serius memberikan khidmat terbaik kepada rakyat kerana banyak masalah perlu diselesaikan.

Katanya, atas faktor itu, rakyat di Sri Aman perlu memberikan sepenuh sokongan kepada kerajaan pimpinan Adenan untuk terus membawa pembangunan di Sarawak.

Pada majlis sama, Najib meluluskan pembinaan baru lima bilik darjah dan satu bilik sains di Sekolah Kebangsaan Bakong, di sini, selain peruntukan RM200,000 untuk membaiki tembok tebing sungai berhampiran Rumah Panjang Faizal Edmund Minit.

Pada PRN kali ini, Mong yang mempertahankan kerusi itu berdepan cabaran satu lawan satu dengan calon PKR Jubri Atak.

Pada PRN ke-10, Mong menang dengan majoriti 2,773 undi. DUN Bukit Begunan mempunyai 9,389 pengundi berdaftar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mei 2016 @ 8:23 AM