ANTARA peserta yang hadir ketika majlis sambutan Hari Pekerja peringkat Kebangsaan 2016 di PWTC, semalam.
AZMI menerima Anugerah Perdana Menteri - Tokoh Mahir 2016 daripada Najib, semalam.
Mohd Nasif Badruddin
mnasif@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kadar gaji minimum baharu RM1,000 bagi Semenanjung serta RM920 bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan akan mula berkuat kuasa 1 Julai ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, ia adalah peningkatan RM100 (11 peratus) bagi Semenanjung dan RM120 (15 peratus) bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurutnya, langkah berkenaan adalah sebahagian daripada enam tindakan dibuat kerajaan untuk melahirkan golongan pekerja yang lebih berdaya saing dalam menggerakkan ekonomi negara ke tahap lebih tinggi.

Katanya, tindakan pertama ialah mentransformasi mekanisme permintaan serta penawaran pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET), khususnya bagi memenuhi keperluan 60 peratus daripada 1.5 juta pekerjaan baharu yang memerlukan kelayakan TVET menjelang 2020.

“Tindakan kedua ialah meningkatkan kemahiran tenaga kerja sedia ada. Sehubungan itu, kerajaan akan terus menyediakan kemudahan pinjaman kepada pekerja yang berhasrat mempertingkat kemahiran sama ada menerusi program peningkatan tahap kemahiran, latihan semula kemahiran atau latihan kemahiran baru bagi menyokong kemahiran sedia ada.

“Tindakan ketiga ialah menambah baik undang-undang perburuhan dan amalan perhubungan perusahaan,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2016 bertemakan Pekerja Berkemahiran Penggerak Ekonomi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Ismail, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Seri Adenan Ab Rahman dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Azih Muda.

Najib berkata, seterusnya kerajaan akan memperkasa jaringan keselamatan sosial menerusi pelaksanaan aplikasi mudah alih i-PERKESO serta cadangan pelaksanaan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) untuk menambahbaik perlindungan sosial pekerja dan memudahcara majikan menjalankan perniagaan.

Katanya, kerajaan akan membudayakan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan dengan melancarkan Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHMP) 2016-2020 yang menjadi kesinambungan OSHMP 15.

“Pelaksanaan OSHMP 15 sebelum ini berjaya menurunkan bilangan kemalangan daripada 49,598 kes pada 2006 kepada 42,148 kes pada 2014 manakala kadar kemalangan maut menurun daripada 7.24 kepada 4.21 bagi tempoh sama.

“OSHMP 2020 dirangka untuk melonjakkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan negara ke tahap yang cemerlang setanding negara maju dengan strategi utama menerapkan nilai budaya pencegahan di tempat kerja,” katanya.

Beliau berkata, menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), kerajaan mensasarkan peningkatan produktiviti buruh pada kadar purata 3.7 peratus setahun, iaitu peningkatan daripada RM77,100 pada 2015 kepada RM92,300 pada 2020.

Katanya, bagi sektor perkhidmatan dan pembuatan, kerajaan menyasarkan untuk mencatat pertumbuhan produktiviti tertinggi pada kadar 4.1 peratus dan tiga peratus masing-masing dalam RMK-11.

Menurutnya, untuk menuju negara maju, RMK-11 menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 35 peratus bersamaan 5,352,000 tenaga kerja mahir menjelang 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mei 2016 @ 8:48 AM