SEBANYAK 5,500 tiket percuma ditawarkan kepada pembaca setia HM.
KANAK-KANAK berpeluang beraksi sebagai Jedi dalam satu daripada aktiviti di Legoland.
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my

Johor Bahru: Jadikan taman tema yang bertemakan LEGO® pertama di Asia, LEGOLAND® Malaysia Resort sebagai destinasi pilihan bersama anak anda sempena cuti sekolah yang bakal menjengah akhir bulan ini.

Harian Metro (HM) yang menyambut ulang tahun ke-25 pada bulan lalu, dengan kerjasama LEGOLAND sebagai destinasi pelancongan yang cukup ideal buat seisi keluarga ingin menawarkan 5,500 tiket percuma buat pembaca setia HM sebagai tanda penghargaan.

Jangan lepaskan peluang untuk menikmati keriangan di LEGOLAND Malaysia Resort, Iskandar Puteri di sini, dengan mendapatkan tiket percuma apabila menjadi 2,750 pembaca setia pertama hadir ke Lobi Anjung Liku, Balai Berita NSTP di Jalan Riong, Bangsar, Kuala Lumpur pada Khamis ini, bermula 10 pagi hingga 4.30 petang.

Selain membawa borang yang lengkap, pembaca setia perlu mengumpul 20 keratan kepala akhbar ini dan satu keratan iklan berkaitan kempen penebusan berkenaan yang disiarkan dalam HM bermula 15 April hingga Khamis ini.

Menerusi Kempen Penebusan Tiket HM - LEGOLAND 2016, setiap pembaca yang berusia 18 tahun ke atas boleh menebus dua keping tiket berjumlah RM450 yang sah digunakan bermula Khamis ini hingga 31 Mei nanti.

Selain itu, LEGOLAND turut memberi peluang kepada pembaca setia HM untuk mendapatkan 50 peratus potongan baucar bagi pembelian tiket dengan cara yang mudah iaitu membawa keratan iklan ‘LEGO® Star Wars™ Day’ yang tertera ‘50% Diskaun’.

Pembaca setia HM terutama kepada mereka yang mempunyai anak berusia dua hingga 12 tahun dialu-alukan mengambil bahagian dan tidak melepaskan peluang keemasan ini memandangkan program terbabit turut bertujuan meraikan Temasya LEGO® Star Wars™ Days di LEGOLAND Malaysia Resort.

LEGOLAND menjangkakan temasya kali ini lebih besar, malah, bakal menjadi acara LEGO Star Wars™ yang terbesar di rantau Asia kerana ia adalah kolaborasi terbesar antara The LEGO® Group dan LEGOLAND Malaysia Resort.

Kongsikan minat Star Wars™ dengan anak, selain dapat menyertai pelbagai aktiviti lain antaranya membina replika LEGO® Millennium Falcon™ yang terbesar di dunia dan antara kapal angkasa ikonik daripada filem terbabit diikuti pembinaan dua kapal ‘TIE Fighters’ pada 7–8 Mei ini.

Jangan lepaskan peluang menikmati perarakan ‘Imperial March’ secara langsung yang diketuai tentera Stormtrooper dan Darth Vader™ sambil diiringi pelbagai watak daripada filem berkenaan, termasuk lebih daripada 90 watak berkostum Star Wars™ daripada 501st Legion yang turut mengambil bahagian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mei 2016 @ 7:22 AM