AHMAD Shabery (tengah) pada kunjungan hormat kepada Menteri Kelautan dan Perikanan Indonesia, Susi Pudjiastuti.

Malaysia dan Indonesia akan berusaha untuk meningkatkan lagi kerjasama dalam industri perikanan bagi memelihara kesejahteraan nelayan antara kedua-dua buah negara.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, antara kerjasama yang perlu ditingkatkan lagi ialah perkara berkaitan pengawasan laut, pertukaran maklumat serta pengawalan sempadan operasi penangkapan
ikan oleh golongan nelayan.

“Malaysia dan Indonesia hadapi masalah yang sama dalam pencerobohan nelayan asing yang membuat penangkapan ikan tidak mengikut undang-undang dan dalam hal ini Indonesia amat komited dan ianya memerlukan suatu langkah yang bersifat dasar yang boleh kita pelajari antara satu sama lain,” katanya kepada Bernama selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Kelautan dan Perikanan Indonesia, Susi Pudjiastuti di sini, kelmarin.

Pertemuan lebih sejam itu turut disertai Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, Ketua Pengarah Perikanan Malaysia Datuk Ismail Abu Hassan dan Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mei 2016 @ 8:58 AM