FATHI Munzir dikawal ketat anggota polis ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh, semalam.
Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


Ipoh: Seorang graduan perubatan didakwa dengan dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam kerana kesalahan merosakkan patung berhala di Sree Muneswaran Amman Kovil di Jalan Hospital Ipoh, di sini dan memiliki senjata berbahaya, 24 April lalu.

Tertuduh Fathi Munzir Nadzri, 29, didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan bagi kesalahan merosakkan patung berhala dalam kuil berkenaan yang merupakan objek suci bagi penganut agama Hindu dengan mengetahui penganut agama berkenaan akan menganggap perbuatan itu sebagai penghinaan terhadap agama mereka pada 5 petang Ahad lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula dia didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki parang pada waktu dan tempat sama.

Fathi Munzir bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan dan minta dibicarakan.

Pertuduhan dijalankan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak Yusaini Amer Abdul Karim di hadapan Hakim Ikmal Hisham Mohd Tajuddin, manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Hafiz Jalaludin dan Mior Fadhli Mior Shaifuddin.

Pihak peguam bela meminta mahkamah menawarkan jaminan RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan alasan kesalahan dilakukan Fathi Munzir bukan pertuduhan yang tidak boleh dijamin.

Yusaini Amer memohon mahkamah membenarkan tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan untuk pemeriksaan kesihatan mental selama sebulan mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah.

Ikmal Hisham membenarkan tertuduh dihantar untuk pemeriksaan kesihatan selama sebulan selepas berpuas hati dengan hujah serta laporan awal perubatan tertuduh dikemukakan pihak pendakwaan yang menunjukkan tertuduh disyaki mengalami masalah mental, selain tiada bantahan daripada pihak pembelaan untuk permohonan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2016 @ 8:59 AM