KEADAAN motosikal ditunggang Farriz.

Kuala Pilah: Pada jam 10 malam kelmarin, Muhamamd Farriz Haikal Sabahudin, 19, mendapat tahu seorang rakannya tidak sihat dan perlu dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan segera.

Walaupun sudah lewat malam, remaja itu tidak pernah menolak, malah segera menghidup enjin motosikal sebelum bergerak dari rumahnya di Dioh ke Kampung Talang, di sini, untuk mengambil rakannya itu.

Perjalanan dari rumah ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) hanya mengambil masa antara 15 hingga 20 minit dengan Muhamamd Farriz menunggang, manakala rakannya, Nur Atikah Mokhtar, 21, membonceng.

Namun, takdir penentu segala-galanya dan dua sahabat itu tidak sempat tiba di HTAN apabila motosikal mereka merempuh sebuah kereta dipandu seorang wanita yang secara tiba-tiba membelok ke kanan.

Apa yang menyedihkan adalah kemalangan berlaku jam 10.15 malam di Kilometer 1.5, Jalan Melang–Kuala Pilah, berhampiran restoran Ar-Robah, di sini, hanya beberapa meter dari HTAN.

Muhamamd Farriz Haikal tidak sempat mengelak menyebabkan dia maut di tempat kejadian, manakala Nur Atikah ‘terbang’ melewati bumbung kereta dan tercampak kira-kira lima meter ke tengah jalan.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintendan Luqman Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu. semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2016 @ 8:01 AM