Arumugam parah ditetak tiga lelaki di bawah jejantas di Lebuhraya Bandar Cassia, Batu Kawan.
Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


Nibong Tebal: Usaha pemandu teksi menghantar seorang lelaki dibalas dengan parang selepas penumpangnya itu sebenarnya tali barut kepada tiga lelaki yang menyerang mangsa dengan senjata tajam itu dalam kejadian di bawah jejambat Lebuhraya Cassia, Batu Kawan, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.50 malam itu, lengan kiri mangsa terkulai selepas ditetak menggunakan parang oleh ketiga-tiga suspek yang menyerbu dan menyerangnya di bawah jejambat berkenaan.

Difahamkan, mangsa diperangkap penumpang lelaki itu yang mengarahnya ke kawasan sunyi sebelum menghubungi suspek yang kemudian datang menyerangnya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Superintendan Shafee Abd Samad berkata, sebelum kejadian penumpang lelaki berkenaan menaiki teksi N Arumugam, 58, di Gelugor, Georgetown pada jam 7.15 malam dan memberitahunya mahu ke kawasan perindustrian di Bandar Cassia di sini.

Beliau berkata, Arumugam kemudian membawa lelaki berusia 20-an berkenaan ke kawasan kilang di Batu Kawan dan berlegar-legar di kawasan berkenaan kerana penumpangnya itu memberi alasan tidak tahu lokasi yang ingin dituju.

“Sebaik tiba di bawah jejambat Lebuhraya Cassia, lelaki berkenaan menyuruh mangsa memberhentikan teksinya di situ dengan alasan mahu merokok sebelum dia yang tidak mengesyaki sesuatu meletak teksinya di bahu jalan.

“Mangsa kemudian melihat lelaki berkenaan menelefon seseorang di luar teksinya sebelum beberapa minit kemudian tiga lelaki menaiki dua motosikal menuju ke arahnya,” katanya.

Shafee berkata, tiga suspek lelaki yang lengkap berparang dan bertopi keledar itu kemudian menyerang mangsa sehingga berlaku pergelutan sebelum mangsa ditetak beberapa kali di lengan dan badan.

Beliau berkata, mangsa yang berlumuran darah cuba melawan, namun tidak berupaya selepas lengan kirinya terkulai dan ketiga-tiga suspek melarikan diri sejurus melihat mangsa tidak bermaya manakala penumpang teksi berkenaan turut gagal dikesan selepas kejadian.

“Mangsa diberikan bantuan orang ramai yang melalui kawasan itu sebelum menghubungi ambulans.

“Lengan kiri mangsa terkoyak dan menampakkan tulang akibat ditetak dengan parang selain cedera di celah jari telunjuk dan ibu jari kanan serta kiri.

“Mangsa yang parah dihantar ke Hospital Sungai Bakap (HSB) bagi mendapatkan rawatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Shafee berkata, pihaknya masih memburu keempat-empat suspek yang melarikan diri dan siasatan kes dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2016 @ 7:47 AM