Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


Bayan Lepas: Asalnya hanya sebuah motosikal terbakar di bahagian enjin dan seorang penduduk yang kebetulan melihat kejadian itu cuba memadam kebakaran berkenaan di kawasan parkir Pangsapuri Saujana Damai, di sini, tengah malam kelmarin.

Bagaimanapun, dia tersalah langkah apabila menendang motosikal terbabit yang kemudian terjatuh hingga menyebabkan kebakaran itu merebak dan menyambar 15 lagi motosikal serta sebuah kereta Perodua Myvi.

Kebakaran jam 12.30 tengah malam itu menyebabkan penghuni yang kebanyakannya tidur turun dari kediaman masing-masing selepas terdengar beberapa letupan selain menyangka ada rumah di tingkat satu terbakar.

Pemilik motosikal hangus itu, Mohd Faiz Farizan Khuzaid, 22, berkata, dia yang tinggal di tingkat enam bergegas turun selepas mendengar letupan serta melihat kepulan asap tebal.

Menurutnya, pada mulanya dia menyangka ada rumah penghuni pangsapuri berkenaan terbakar, namun sebaik turun ke tingkat bawah, baru dia tahu yang kebakaran itu sebenarnya berlaku di tempat parkir.

“Ketika itu beberapa penduduk cuba memadam kebakaran menggunakan alat pemadam api, namun gagal kerana api marak dengan cepat dipercayai akibat tumpahan petrol.

“Saya kecewa serta sedih apabila melihat Yamaha Lagenda saya turut terbakar dan hanya tinggal rangka,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Pemilik Perodua Myvi yang terbakar, Mazuki Che Mohamed, 39, berkata, dia baru meletakkan keretanya di tempat parkir berkenaan kira-kira 20 minit sebelum kejadian kerana baru pulang dari tempat kerja.

Menurutnya, ketika itu dia tidak menghidu bau petrol atau melihat individu mencurigakan di kawasan parkir terbabit.

“Saya memang terkejut dan terkilan apabila melihat kereta yang digunakan untuk berulang-alik ke tempat kerja setiap hari hangus dalam kebakaran itu,” katanya.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru Zainol Md Isa berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.35 tengah malam dan tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian dengan kekuatan enam anggota.

Beliau berkata, 16 motosikal hangus keseluruhan manakala sebuah kereta terbakar 75 peratus, namun tiada kemalangan jiwa berlaku dan setakat ini, siasatan masih dilakukan untuk menentukan punca kejadian serta jumlah kerugian dialami semua pemilik kenderaan itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya Deputi Superintendan Siti Nor Salawati Saad berkata, siasatan mendapati kejadian terbabit mempunyai unsur khianat.

Beliau berkata, rumusan itu berdasarkan kepada siasatan forensik bomba yang menemui botol mineral dan dua cebisan kain dipercayai digunakan untuk membakar kenderaan terbabit.

“Selain itu, hasil penelitian melalui kamera litar tertutup mendapati ada tiga lelaki berlari ke kawasan parkir berkenaan 20 saat sebelum kebakaran berlaku.

“Rakaman itu menunjukkan mereka menunggang motosikal, namun nombor pendaftaran kenderaan itu gagal diperoleh buat masa ini.

“Semua bahan bukti berkenaan dihantar ke makmal forensik dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2016 @ 7:24 AM