ANGGOTA polis memeriksa serpihan mesin ATM yang diletupkan penjenayah, semalam.
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


Alor Setar: “Bunyi letupan itu sangat kuat sehingga mengejutkan saya dan isteri yang ketika itu sedang bersahur di tingkat atas rumah kedai kami yang jaraknya 80 meter dari bank berkenaan sebelum melihat motosikal ditunggang lelaki meninggalkan kawasan berkenaan.”

Begitu kata saksi lelaki berusia 70-an apabila menceritakan kejadian sekumpulan penjenayah melarikan wang tunai berjumlah RM300,000 selepas meletupkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di Pekan Jitra, di sini, semalam.

Saksi itu berkata, dia kemudian melihat kereta peronda polis tiba di bank berkenaan, tetapi tidak berani turun ke bawah kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku.

“Apabila melihat ramai anggota polis, baru saya turun untuk menunaikan solat Subuh di masjid berhampiran,” katanya.

Dalam kejadian jam 5 pagi, dua penjenayah dikatakan mengambil masa dua minit untuk meletupkan mesin ATM berkenaan sebelum melarikan wang tunai RM300,000.

Suspek dikatakan mengumpil mesin ATM itu menggunakan besi sebelum memasukkan bom paip ke dalamnya dengan menyalakan sumbu sebelum meletupkannya bagi memecahkan pintu penutup mesin berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Abd Rahim Abdullah berkata, berdasarkan maklumat, sepasukan anggota polis dikejarkan ke lokasi, bagaimanapun suspek melarikan diri.

Menurutnya, suspek yang memakai topeng melarikan empat katrij mengandungi wang tunai.

Katanya, pihaknya menemui wang tunai berjumlah RM660 bertaburan di atas lantai.

“Kejadian itu turut menyebabkan bahagian cermin hadapan bank pecah dan kaca bertaburan di atas lantai. Namun, hasil rakaman kamera litar tertutup mendapati semua suspek memakai topeng ski dan jaket.

“Mereka melarikan diri dengan menaiki kereta Toyota Camry sambil membawa wang tunai hasil rompakan,” katanya.

Menurutnya, sepasukan anggota Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah membuat pemeriksaan di kawasan kejadian dan menemui bahan serpihan bom paip digunakan penjenayah.

Katanya, pihaknya juga tidak menolak berkemungkinan semua suspek terbabit mempunyai kaitan dengan kejadian rompakan di sebuah bank di Alor Setar pada Februari lalu kerana modus operandi dilakukan mereka hampir sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2016 @ 7:11 AM