TIGA warga Pakistan ditahan dalam Ops Ikrar.

Kota Bharu: Beberapa kedai runcit di negeri ini yang dimiliki warga asing (Pakistan) menggunakan khidmat rakan atau saudara mereka untuk bekerja di kedai mereka, secara haram.

Taktik itu terbongkar apabila enam warga Pakistan ditahan di tiga lokasi berasingan dalam Operasi Ikrar antara jam 4 petang hingga 8 malam Rabu lalu di Lembah Sireh dan Pengkalan Chepa, di sini.

Pemilik kedai runcit warga Pakistan berkenaan berkahwin dengan rakyat tempatan bagi memudahkan mereka berniaga atau membuka kedai di negeri ini.

Ketua Bahagian Penguat kuasa Jabatan Imigresen Kelantan Siti Khadijah Hamzah berkata, operasi itu disertai 20 pegawai dan anggota imigresen.

Katanya, seramai 25 individu diperiksa dan enam daripada mereka didapati menyalahgunakan pas masuk dan tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

“Mereka yang ditahan dikesan melakukan kesalahan mengikut Perkara 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas atau permit dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk dan tinggal di negara ini tanpa permit sah.

“PATI ditahan di Depoh Tahanan Imigresen Tanah Merah untuk tujuan siasatan dan pengesahan,” katanya di sini, semalam.

Siti Khadijah berkata, Imigresen Kelantan tegas dan akan terus melakukan pemantauan serta operasi untuk mengesan PATI yang tiada dokumen terus bekerja secara bebas di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2016 @ 10:33 AM