ZULKALNAIN (duduk dua dari kiri) bersama staf syarikat penerbangan Rayani Air menunjukkan laporan polis.
Nursyahirah Marzuki
am@hmetro.com.my


Putrajaya: Kakitangan Rayani Air memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pemilik syarikat penerbangan itu sekiranya tunggakan gaji mereka tidak dibayar sebelum Selasa ini.

Pengurus Operasi Rayani Air Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) Zulkalnain Azdan berkata, dia mewakili 400 pekerja dan kakitangan Rayani Air menuntut tunggakan gaji berjumlah kira-kira RM1.5 juta daripada pemilik syarikat, Ravi Alagendrran dan isteri, Karthiyani Govindan.

Beliau berkata, gaji pekerja dan kakitangan bagi Mac sepatutnya dibayar pada 28 Mac lalu, namun sehingga kini mereka masih belum menerima apa-apa jawapan daripada syarikat.

“Tunggakan gaji kini mencecah sehingga RM1.5 juta. Selain itu, kami mendapati tiada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibuat sepanjang kami berkhidmat di syarikat ini sejak September tahun lalu.

“Selain itu, beliau (Ravi) enggan berjumpa dan menjelaskan kepada kami mengenai tunggakan gaji itu. Ini bukan kali pertama beliau (Ravi) lambat membayar gaji kami,” katanya pada sidang media berhampiran pejabat Rayani Air di Bandar Baru Salak Tinggi di sini semalam.

Katanya, tindakan undang-undang perlu bagi membela nasib pekerja Rayani Air yang diabaikan pihak pengurusan syarikat.

Zulkalnain berkata, pihak syarikat juga didapati tidak menjelaskan caruman KWSP pekerja RM900,000 sejak beroperasi September tahun lalu.

Dalam pada itu, katanya, beliau difahamkan, ada beberapa pelabur berminat untuk mengambil alih dan membeli semua kepentingan Rayani Air.

“Kami sebagai kakitangan syarikat penerbangan berharap kemasukan pelabur baru itu penting bagi memastikan syarikat penerbangan itu terus beroperasi pada masa akan datang.

“Kami berharap pihak Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) menyokong kemasukan pelabur baru itu memandangkan beliau (Ravi) tidak lagi berhak untuk mengendalikan syarikat itu,” katanya.

Katanya, beliau yakin pengalaman kakitangan Rayani Air dalam industri penerbangan sebelum ini dapat membantu mengaktifkan kembali operasi syarikat penerbangan itu pada masa depan.

Zulkalnain berkata, masalah yang ditimbulkan Ravi hanya memburukkan nama syarikat dan beliau tidak layak untuk memegang sebarang jawatan di dalam syarikat ini.

Sebelum ini, Rayani Air digantung perkhidmatannya oleh DCA, baru-baru ini selepas mengalami pelbagai masalah kelewatan dan pembatalan penerbangan selama tiga bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 April 2016 @ 11:10 AM