OMAR (tengah) menyampaikan replika cek sumbangan kepada Nina sambil diperhatikan Halina.
Isma Ismail
isma@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: “Saya berharap ibu dapat terima diri ini seadanya kerana kini beragama Islam. Selain itu, saya berharap saudara-mara di Manila (Filipina) dapat terima,” kata Nur Nina Farisha Woo Abdullah, 19.

Menurutnya, dia tidak tahu bagaimana penerimaan saudara di Manila apabila mereka tahu dirinya beragama Islam, tambahan pula bapa saudaranya seorang paderi.

Katanya, dia berharap mereka dapat menerimanya seperti yang ibunya lakukan kerana tindakan memeluk Islam adalah jalan dipilihnya sendiri.

“Apabila saya beritahu ibu saya peluk Islam, dia terima jika benar Islam jalan dipilih,” katanya ketika ditemui di majlis penyerahan kad perakuan Islam disampaikan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) Datuk Omar Musa di Kediaman Rasmi Menteri Besar, Seri Iman, di sini, semalam.

Hadir sama, isteri Menteri Besar Terengganu Toh Puan Seri Halina Zakaria dan Ketua Pegawai Eksekutif Kolej RANACO Ahmad Firdhaus Ramlan.

Gadis dari Pasir Gudang itu mendapat perhatian selepas menunjukkan keberaniannya mengucap dua kalimah syahadah di hadapan 30,000 orang ketika sesi soal jawab bersama Dr Zakir pada 14 April lalu.

Penuntut semester tiga Diploma Kejuruteraan Mekanikal Pelantar Minyak itu mengucapkan kalimah itu selepas Dr Zakir hadir ke majlis syarahan terakhirnya dalam siri jelajah ke Terengganu yang turut dihadiri Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Gadis itu mengakui mula mengkaji mengenai Islam ketika berusia 13 tahun. Dia anak tunggal yang ibunya berasal dari Filipina manakala bapanya dari Johor nekad memeluk Islam selepas berpuas hati dengan jawapan diberikan Dr Zakir ketika sesi soal jawab.

Dakwanya, dia sudah lama ingin memeluk Islam dan jawapan pendakwah itu membuatkan dirinya berasa lebih yakin dengan agama Islam sebagai agama yang suci.

Menurut Nina, dia menerima kecaman daripada pihak tertentu yang menghubunginya dan juga di laman sosial berikutan soalan dikemukakan kepada Dr Zakir.

Bagaimanapun, dia menganggap kecaman diterima sebagai cabaran selepas bergelar seorang Muslimah.

“Ia tidak mengganggu saya dan tidak mahu memikirkan mengenainya.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak terutamanya Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman,” katanya yang kini selesa berhijab.

Sementara itu, Omar berkata, majlis berkenaan diadakan bagi meraikan Nina selepas dia membuat langkah berani untuk mengucapkan dua kalimah syahadah.

Menurutnya, pihaknya sentiasa bersedia membantu golongan mualaf menerusi beberapa bantuan yang disediakan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 April 2016 @ 10:33 AM