SULTAN Muhammad V meluangkan masa melawat Ahmad Yakob yang selamat jalani pembedahan kecil membuang darah beku di kepala.

Kota Bharu: “Alhamdulillah, kesihatan saya semakin pulih 100 peratus,” kata Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob yang dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian susulan pendarahan dalam kepala sejak Rabu lalu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Wad T2 (Eksekutif) HUSM, semalam.

Terdahulu, Ahmad menerima kunjungan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V yang berkenan mencemar duli melawat beliau dan meluangkan masa kira-kira 20 minit di wad berkenaan.

Kunjungan baginda turut diiringi Pengarah Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Mafauzy Mohamed dan semua EXCO termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood dan Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan, Mejar (B) Datuk Anizan Abd Rahman.

Selepas menjalani pembedahan pada Khamis lalu, Ahmad dalam pantauan doktor dan mengakui dirinya kini dalam keadaan terbaik dan tidak sabar untuk memulakan tugas semula.

“Saya berterima kasih kepada rakyat Kelantan yang tidak putus mendoakan kesihatan saya.

“Ucapan terima kasih yang tidak terhingga juga kepada doktor dan semua kakitangan hospital ini kerana menyediakan perkhidmatan yang terbaik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2016 @ 7:26 AM