SHAWN Amer ketika menguruskan Neelofa.

Kuala Lumpur: Berdepan situasi genting ketika Neelofa didakwa ditangkap khalwat bersama VVIP dua tahun lalu, Mohd Amer Syafiq Khalip, 29, menegaskan, itu antara perkara mencabar sepanjang enam tahun mengurus artis popular seperti Neelofa atau nama sebenar Noor Neelofa Mohd Noor, 27.

Dia yang mesra dipanggil Shawn Amer dalam kalangan wartawan hiburan sungguh tidak menyangka perkara itu membuatkan dia kelam-kabut.

“Bukan apa, ini membabitkan maruah dan saya tidak mahu Neelofa tergopoh-gapah menjawab sebarang pertanyaan sekiranya benda tidak betul.

“Ya, kami berbincang terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan. Saya sendiri bertanya kepada ibu bapanya sebelum mengeluarkan sebarang komen memandangkan ketika itu Neelofa dalam perjalanan ke luar negara.

“Memang tidak dapat dinafikan pada awal kemunculan, Neelofa cepat melenting, tetapi apabila semakin banyak kontroversi, kami menjadi lebih matang untuk menghadapinya, malah sekarang satu perbincangan akan diadakan sebelum menjawab sebarang isu,” katanya.

Lebih tenang kini, kata Shawn Amer, seorang pengurus artis perlu sentiasa memegang amanah dan menyimpan rahsia artis yang dijaganya.

“Rahsia adalah perkara terbesar yang mengikat pengurus dan artis. Kita adalah pemegang amanah yang mana sampai satu tahap rahsia itu kita tidak akan kongsikan.

“Menyimpan rahsia bukan bermakna melarikan diri daripada menjawab soalan, sebaliknya berdepan dengan masyarakat dan memberikan jawapan secara diplomatik dan bijaksana,” katanya.

Seronok bekerja dengan Neelofa, Shawn Amer berkata, pengurus artis terutama menjaga artis wanita memerlukan komited kerja tinggi.
“Pengurus perlu membina jalinan perkenalan dengan jurusolek, pereka fesyen dan perlu peka dengan trend semasa sebagai langkah persediaan membentuk personaliti seseorang artis.

“Banyak faktor yang perlu dipertimbangkan untuk menjadi pengurus artis. Sekiranya menguruskan seorang pelakon, pengetahuan mengenai filem, drama, kru, pengarah dan babak lakonan sangat diperlukan manakala untuk menguruskan penyanyi, pengurus perlu faham tentang muzik dan arah tuju artis tersebut.

“Nasib saya baik apabila bekerja dengan Neelofa yang juga seorang yang mudah memahami.

“Setiap tawaran yang diterima, dia pastikan mendapatkan maklumat lengkap sebelum mengatakan ya,” katanya.

Menurut Shawn Amer, dia sangat mencintai kerjayanya dengan gaji bulanan yang diterima dan tidak mudah mencari popular walaupun menjaga artis glamor seperti Neelofa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2016 @ 6:48 AM