Azma Razana Johari
am@hmetro.com.my

Perai: Dua remaja termasuk seorang yang masih di bawah umur ditahan polis kerana positif dadah dalam sekatan jalan raya di Kilometer 0.2, Jambatan Pulau Pinang, susur keluar ke Perai, awal pagi semalam.

Dalam operasi jam 12.30 tengah malam itu, pada mulanya mereka berlagak tenang sebelum gelisah selepas masing -masing memberikan jawapan yang berbeza ketika disoal polis dalam Ops Mabuk yang dijalankan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) di sini.

Difahamkan, remaja berusia 17 tahun bersama rakannya berusia 22 tahun itu pada awalnya ditahan kerana menunggang motosikal tanpa lesen memandu yang sah sebelum hasil saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis syabu.

Mereka yang berasal dari Serdang, Kedah, datang ke negeri ini untuk bersiar-siar dengan menunggang motosikal milik ibu remaja berusia 17 tahun itu.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik IPK Pulau Pinang Superintendan Roslan Ali berkata, dalam operasi bermula jam 12.30 malam dan berakhir jam 4.30 pagi itu, seramai enam lelaki ditahan termasuk seorang remaja bawah umur.

“Tiga daripada mereka ditahan kerana kesalahan memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol termasuk seorang warga Korea Selatan, manakala tiga lagi positif dadah,” katanya.

Katanya, memandu dalam keadaan mabuk dan khayal bukan saja membahayakan diri sendiri, malah pengguna jalan raya yang lain.

Menurutnya, sebanyak 50 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh serta nombor plat tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

“Sebanyak 373 kenderaan dan 384 individu diperiksa sepanjang operasi berkenaan dan semua yang ditahan dibawa ke IPD SPT untuk diambil keterangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2016 @ 9:51 AM
DUA remaja berusia 18 tahun ditahan positif dadah ketika ujian air kencing dalam Ops Mabuk di susur keluar Jambatan Pulau Pinang, Butterworth.