PESURUHJAYA Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun (belakang kiri) melawat anggota kru yang cedera di ICU Hospital Tawau.
Norasikin Daineh dan Hazsyah Abdul Rahman dan Mohd Ruzaini Zulkepli
hmkk@hmetro.com.my

Tawau: Polis tidak menolak kemungkinan kumpulan penjenayah bersenjata di laut kini mengubah taktik serangan dengan menyasarkan bot atau kapal di perairan antarabangsa yang bergerak perlahan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun berkata, berdasarkan siasatan awal, kumpulan itu yang menaiki bot berkelajuan tinggi akan menghampiri bot atau kapal yang bergerak perlahan sebelum dipintas.

“Dalam kejadian terbaru ini, polis mendapati bot tunda TB Henry diserang ketika bergerak sekitar kelajuan 5.2 knot di perairan antarabangsa.

“Ini menyebabkan kumpulan penjenayah yang menaiki bot laju dapat menghampiri bot mereka dengan mudah,” katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa bot tunda yang cedera ditembak di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Besar Tawau, semalam.

Dalam kejadian Jumaat lalu, 10 kru bot TB Henry diserang kumpulan bersenjata ketika berada di perairan antarabangsa di Kepulauan Tawi-Tawi, Filipina.

Kejadian menyebabkan empat daripada mereka diculik manakala enam lain berjaya meloloskan diri sebelum diselamatkan pasukan keselamatan negara ini.

Bagaimanapun, seorang yang terselamat cedera di dada akibat ditembak kumpulan bersenjata itu.

Abdul Rashid berkata, pihaknya sudah menghubungi pasukan keselamatan di Indonesia melalui Polis Antarabangsa (INTERPOL) bagi membincangkan perkara ini.

“Kami ada berhubung dengan INTERPOL di Indonesia untuk berbincang dan menyelaraskan tindakan perlu diambil selain bantuan yang boleh ditawarkan.

“Ini kerana kejadian berlaku di perairan antarabangsa manakala semua mangsa dalam kejadian terbaru ini adalah warga Indonesia,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rashid memaklumkan pihaknya akan merakam percakapan lima kru bot tunda yang terselamat untuk pengecaman suspek.

“Polis masih melakukan siasatan sama ada kejadian terbaru ini didalangi kumpulan sama yang menculik empat rakyat negara ini pada 1 April lalu atau sebaliknya.

“Kami sedang mendapatkan maklumat lebih terperinci daripada kru yang terselamat bagi membantu mengecam suspek selain sebarang maklumat berkaitan yang boleh membantu,” katanya.

Beliau berkata, semua kru bot tunda berusia antara 20 hingga 40 tahun yang terselamat memberi kerjasama yang baik ketika disoal siasat.

“Polis akan berbincang dengan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2016 @ 7:21 AM