Mohd Nasif Badruddin
mnasif@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Peruntukan RM2 juta bagi penganjuran Junior Cycling Malaysia (JCM) adalah untuk keseluruhan program berkenaan termasuk 16 perlumbaan di seluruh negara dan bukan hanya bagi satu perlumbaan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, 9 April lalu saja.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata, isu hadiah RM30 bagi juara JCM yang disampaikannya minggu lalu tidak seharusnya dijadikan polemik kerana ia membabitkan banyak program bagi tempoh jangka panjang.

“Jangan salah faham, kos ini bukan hanya untuk perlumbaan di Serdang saja, tetapi bagi keseluruhan program di setiap negeri.

“Peruntukan ini termasuk untuk program luar negara, jurulatih dan pelbagai lagi,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan program kupas buku anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) di kedai buku Borders, semalam.

Beliau berkata, dari sudut positif orang ramai kini tahu mengenai program JCM yang mencungkil bakat kanak-kanak untuk diketengahkan sebagai pelumba basikal negara.

Katanya, sebelum ini penganjur cuma memberi medal kepada pemenang dan ia menjadi isu apabila replika cek berjumlah RM30 untuk pemenang dijadikan polemik oleh pihak tertentu.

“Mungkin selepas ini kita tidak akan beri wang tunai lagi, mungkin akan beri baucar atau hadiah lain,” katanya.

Terdahulu dalam program itu, Khairy turut meluangkan masa mengupas buku Uniquely Human yang dibacanya mengenai cara berbeza untuk melihat autisme.

Beliau yang pertama kali mendedahkan anak keduanya menghidap autisme sebak sehingga menitiskan air mata ketika berkongsi pengalaman bagaimana mendidik anak istimewa dan apa yang patut dilakukan ibu bapa terhadap anak mereka.

Khairy yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO turut menyokong cadangan GPMS untuk mengadakan program kupas buku di seluruh negara dalam masa terdekat menerusi program Read Malaysia dan kementeriannya sedia bekerjasama dengan pemegang taruh lain seperti Kementerian Pendidikan dan Perpustakaan Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2016 @ 5:17 AM