MICHELLE bergambar dengan pelajar dan guru Tenby Schools Ipoh, semalam.
myMetro

Ipoh: Penerbit dan pelakon antarabangsa kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh bimbang terhadap peningkatan kemalangan jalan raya di negara ini terutama membabitkan golongan kanak-kanak.

Michelle berkata, statistik global yang dilaporkan, baru-baru ini menyenaraikan Malaysia di tangga ke-52 di mana rakyatnya mudah terdedah kepada kemalangan.

Katanya, pelajar sekolah antara golongan yang terdedah kepada risiko itu kerana kebanyakan sekolah berada berhampiran kawasan yang sibuk dengan lalulintas.

Justeru, beliau melihat pentingnya memberi penekanan mendidik kanak-kanak mengenai kesedaran keselamatan jalan raya sejak di bangku sekolah.

“Kita mulakan dengan program keselamatan dididik di sekolah dan ini adalah satu tabiat baik diterapkan kepada kanak-kanak untuk dipraktikkan sepanjang hidup mereka.

“Kanak-kanak adalah anugerah Tuhan kepada sesebuah keluarga dan menjadi tanggungjawab golongan dewasa membantu menjamin keselamatan mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program ‘SAFE STEPS Road Safety’ di Tenby Schools Ipoh, di sini, semalam.

Program itu yang pertama dilancarkan di peringkat sekolah berkenaan diadakan dengan kerjasama Yayasan Prudence, National Geographic Channel dan Federation Internationale de l’Automobile

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2016 @ 6:12 AM