Mohamad Roy (tengah) menunjukkan batang besi digunakan kumpulan remaja yang menyerang pelajar dalam kejadian di Taman Wangsa Melawati.
Mohd Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Dendam akibat bertikam lidah dikesan menjadi punca dua pelajar sekolah menengah diserang hingga parah di kepala Khamis lalu.

Difahamkan pergaduhan tercetus berikutan salah faham membabitkan dua pelajar sekolah sebelum ia merebak menjadi serangan ala kongsi gelap di Taman Wangsa Melawati, di sini, Khamis lalu,

Dalam kejadian itu, 15 hingga 20 remaja membawa pelbagai senjata menyerang dua mangsa.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, remaja bertengkar itu dikatakan tidak berpuas hati sebelum memanggil sekumpulan rakan lain untuk membalas dendam.

“Polis difahamkan, kumpulan mangsa yang cedera dipukul di kepala itu dalam perjalanan untuk berjumpa kumpulan penyerang sebelum mereka bertembung di Taman Wangsa Melawati, di sini, jam 2 petang,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, di sini, semalam.

Susulan itu berlaku pergaduhan sebelum dua mangsa cedera teruk dipukul.

Harian Metro semalam melaporkan kumpulan penyerang menggunakan pelbagai senjata termasuk pisau kerambit, parang, buku lima, batang besi dan cota.

Mohamad Roy Suhaimi berkata, enam suspek berusia 14 hingga 18 tahun ditahan di sekitar Gombak dan Wangsa Maju antara jam 11 pagi dan 9 malam kelmarin bagi membantu siasatan.

“Sehingga kini 18 individu ditahan dan kami masih lagi mengesan saki baki kumpulan penyerang termasuk meminta kumpulan pelajar yang cedera tampil ke IPD untuk memberi keterangan.

“Dua pelajar cedera di kepala menerima tujuh jahitan dan seorang lagi menerima enam jahitan ketika mendapat rawatan di Hospital Ampang. Mereka dilaporkan pulang ke rumah masing-masing,” katanya.

Menurutnya, kes itu tidak membabitkan unsur kumpulan samseng atau kongsi gelap.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2016 @ 5:18 AM