MUNIRAH dan Afif melayan kerenah anak mereka.
Nor Hanisah Kamaruzaman dan Wan Nur Ameera Meor Rozman
am@hmetro.com.my


Subang: Habis akal, baru tawakal. Itulah ungkapan untuk menggambarkan kesungguhan gadis molek kelahiran negeri pantai timur ini dalam mengejar impiannya.

Di saat cuba menghubungi beliau, penulis sudah bersedia jika permintaan untuk menemubual ditolak atas kekangan waktu kerjanya.

Namun siapa sangka, sepasang suami isteri yang diamanahkan untuk menerbangkan pesawat dengan selamat ketika membawa ratusan penumpang sanggup meluangkan masa untuk wartawan Harian Metro.

Pada pertemuan itu, walaupun masing-masing lengkap berpakaian seragam juruterbang, namun sifat keibu-bapaan mereka begitu terserlah.

Memulakan perbualan, Munirah Muhsin, 31, berkata, meskipun umurnya sudah menginjak 23 tahun dan sudah menggenggam segulung ijazah dalam bidang pemasaran, ia tidak sedikit pun menghalang dirinya untuk terus mengejar impiannya menjadi seorang juruterbang.

Membawa si kecil bersama ketika ditemubual di Skypark Terminal Subang baru-baru ini, Munirah berkata, dia mempunyai minat mendalam terhadap bidang berkenaan, justeru komited untuk merealisasikan cita-citanya itu walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran.

Anak kelahiran Terengganu itu berkata, cita-citanya untuk menakluki awan biru mula timbul sejak berusia tujuh tahun lagi.

“Ketika zaman kanak-kanak dulu, saya suka ikut hantar sesiapa saja ke lapangan terbang kerana suka tengok kapal terbang dan berjalan di terminal.

“Bagaimanapun, selepas mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya sambung pelajaran di University of Technology Sydney di Australia dalam bidang berbeza kerana tidak berkemampuan membayar kos pengajian penerbangan yang agak tinggi.

“Apatah lagi pendedahan wanita untuk menjadi juruterbang komersial tidak begitu banyak tambahan pula ia memerlukan penajaan untuk membuat lesen penerbangan komersial,” katanya.

Boleh digelar sebagai wanita yang tidak mudah putus asa, walaupun dia tidak diberi kesempatan mengambil jurusan bidang penerbangan, dia tetap mencuba nasib dengan memasuki bidang itu sebagai pramugari.

“Setelah tamat pengajian, saya mula mengintai peluang untuk menjadi pramugari dan diterima bekerja di salah sebuah syarikat penerbangan Timur Tengah berpusat di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu.

“Apabila berada dalam bidang ini, baru saya sedar terdapat banyak peluang dan peruntukan yang disediakan untuk saya meneruskan hasrat menjadi antara wanita yang dapat menerbangkan pesawat,” katanya.

Sambil melayan kerenah anaknya, dia menambah, dengan penajaan dari Majlis Amanah Rakyat (MARA), dia menyambung pengajian sebagai juruterbang kadet di KL International Flying Academy dan Malaysian Flying Academy dari 2009 hingga 2011.

“Bagaimanapun, perjalanan saya tidak semudah yang disangka. Walaupun berjaya menamatkan latihan dan memperoleh lesen sebagai juruterbang kadet, saya adalah antara 1,174 juruterbang yang menganggur ketika itu.

“Disebabkan oleh jumlah sekolah penerbangan yang tumbuh bak cendawan selepas hujan waktu itu, ia telah menghasilkan ribuan juruterbang muda melebihi permintaan syarikat penerbangan sekali gus menjadikan punca kepada lambakan juruterbang yang menganggur.

“Kira-kira tiga tahun menganggur, saya diterima untuk bekerja di Malindo Air. Sepanjang tempoh itu, saya fokus terhadap tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu.

“Di atas restu suami dan ibu ayah khususnya, saya berjaya mencapai impian dan kini menggalas tugas sebagai ‘Second Officer’ di Malindo Air,” katanya.

Ibu kepada seorang anak itu berkata, semangat dan toleransi yang ditunjukkan suami menjadi tulang belakang dan kekuatan untuk dirinya terus berjuang dan merealisasikan angan-angan berkenaan.

“Memandangkan kami bekerja dalam bidang sama, mungkin ia menjadi kelebihan untuk kami. Dia tidak pernah menghalang saya, malah sentiasa berada di belakang dengan memberi sokongan penuh,” katanya.

Suaminya, Afif Azhanee Idris, 32, berkata, restu suami penting untuk menerajui kejayaan seorang isteri, justeru suami yang sentiasa menjadi insan paling dekat dengan isteri seharusnya memberi sokongan daripada semua aspek berbanding mempertikaikan keputusannya.

“Sebagai suami kita seharusnya memahami isteri dan membantu dia daripada pelbagai sudut,” katanya.

Menyentuh mengenai tugas isterinya di rumah, Afif berkata, toleransi dan tolak ansur perlu wujud dalam setiap masjid yang dibina agar tidak timbul salah faham.

“Kami bertuah kerana berada dalam sektor yang sama jadi kami saling memahami skop kerja masing-masing. Di rumah, tugas suami adalah untuk membantu isteri, jadi apa salahnya jika kita sebagai suami kadang-kala mengambil alih tugas isteri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 April 2016 @ 9:42 AM