ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan lembu yang terjatuh ke dalam perigi, kelmarin.
myMetro

Kota Bharu: Seekor lembu betina seberat 150 kilogram jatuh dan terperosok ke dalam perigi sedalam 4.5 meter di Kampung Gual Sitok, Rantau Panjang, kelmarin.

Ternakan itu bernasib baik kerana telaga air berkenaan kering, malah kejadian disedari pemiliknya, Mohd Aliff Husnizaim Shah Mohd Alif, 30.

Mohd Aliff Husnizaim Shah berkata, dia dimaklumkan jiran mengenai kejadian itu jam 6.50 petang dan segera menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan.

“Perigi itu sudah lama tidak digunakan kerana tiada air sejak kemarau mulai awal Mac lalu. Ia juga tidak ditutup.

“Saya tidak pasti bagaimana lembu saya boleh terjatuh ke dalam perigi itu, namun kasihan melihatnya dan segera menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur lembu itu tidak cedera,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian berkenaan jam 6.58 petang.

Katanya, empat anggota dan satu jentera bergegas ke tempat kejadian dan mengambil masa 20 minit untuk mengeluarkan lembu itu menggunakan tali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2016 @ 10:14 AM