Syed Basri (kanan) menunjukkan daun ketum yang dirampas di Kem AKSEM Padang Besar, semalam.
Aizat Sharif
mohd.aizat@hmetro.com.my


Padang Besar: Hanya dengan upah RM2 hingga RM5 bagi satu kilogram daun ketum, dua lelaki sanggup menjadi penghantar bekalan itu yang diseludup ke negara jiran.

Malah, seorang daripada mereka baru berusia 15 tahun dan tidak bersekolah, bertindak mencari wang mudah dengan kerja itu walaupun menyedari berdepan risiko ditangkap.

Bagaimanapun, kegiatan mereka terbongkar selepas anggota risik Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) Perlis, menahan suspek yang menaiki Proton Iswara Aeroback hitam dan merampas enam bungkusan guni putih berisi daun disyaki ketum, jam 9.50 malam kelmarin.

Komander AKSEM Perlis Deputi Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, kegiatan suspek yang menggunakan laluan sunyi di Jalan Padang Besar-Ulu Pauh disedari anggota AKSEM yang kemudian mengekori mereka sebelum menahan suspek berusia 15 dan 25 tahun itu di Kilometer 27, Jalan Padang Besar-Ulu Pauh.

Menurutnya, pemeriksaan menemui enam bungkusan guni daun disyaki ketum berbalut plastik lut sinar seberat 216 kilogram (kg) di tempat duduk penumpang belakang dan but kereta itu.

“Suspek remaja itu dipercayai tidak bersekolah dan mengambil upah menghantar bekalan daun ketum yang diseludup ke Thailand.

“Kita percaya mereka terima upah antara RM2 hingga RM5 bagi setiap satu kilogram bekalan daun ketum yang dibawa,” katanya di Kompleks AKSEM Perlis, di sini, semalam.

Syed Basri berkata, pihaknya juga percaya suspek sudah lama terbabit kegiatan itu menggunakan laluan tikus di pintu pagar sempadan Malaysia-Thailand disebabkan permintaan tinggi dari negara itu.

“Mereka menerima arahan daripada ketua sindiket untuk menghantar bekalan itu pada waktu malam.

“Kita percaya sindiket ini menyangka anggota AKSEM tidak banyak meronda pada waktu malam, jadi mereka menggunakan kesempatan itu menghantar bekalan di kawasan pintu sempadan Malaysia-Thailand,” katanya.

Beliau berkata, nilai rampasan daun ketum termasuk kereta dianggarkan RM23,280.

“Suspek dibawa ke Kompleks AKSEM Padang Besar untuk pemeriksaan sebelum diserahkan ke Bahagian Siasatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk siasatan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya.

Sepanjang Januari hingga Mac tahun ini, AKSEM Perlis membuat 21 rampasan daun ketum seberat 1,794 kg bernilai RM160,000.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2016 @ 7:41 AM