AMRAN (dua dari kiri) menunjukkan ganja yang dirampas daripada suspek.
Norashikin Leman
am@hmetro.com.my


Shah Alam: Mereka selayaknya digelar ‘keluarga ganja’ apabila bapa, ibu dan empat anak menyimpan ganja dalam rumah sebelum kediaman mereka diserbu polis Jumaat lalu.

Dalam serbuan itu polis merampas 111 ketulan mampat ganja seberat 117,868 gram dipercayai untuk pasaran tempatan dengan anggaran nilai RM277,500.

Enam ahli keluarga itu ditahan selepas dipercayai terbabit dalam sindiket pengedaran ganja bernilai RM286,300 dalam tiga serbuan dilakukan polis di tiga lokasi berasingan Jumaat lalu.

Sebelum itu, dalam serbuan pertama remaja lelaki berusia 16 tahun dan rakannya berusia 22 tahun ditahan bersama-sama bungkusan plastik berisi bahan dipercayai ganja seberat 3,122 gram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor Asisten Komisioner Amran Ramli berkata, kedua-duanya ditahan jam 5 petang di kawasan Ara Damansara, Petaling Jaya.

“Ketika ditahan, remaja berusia 16 tahun itu mengaku tidak bersekolah dan dalam perjalanan menghantar bekalan ganja kepada pelanggan menggunakan motosikal.

“Susulan penahanan suspek, JSJN IPK Selangor menyerbu satu keluarga di sebuah rumah di Kampung Baru Subang, Sungai Buloh jam 6.45 petang dan menahan empat lelaki serta dua wanita warga tempatan berusia antara 20 hingga 57 tahun.

“Pemeriksaan lanjut dalam rumah itu polis menemui 111 ketulan mampat disyaki ganja seberat 117,868 gram dipercayai untuk pasaran tempatan dengan nilai anggaran RM277, 500,” katanya pada sidang media di IPK Selangor, semalam.

Amran berkata, soal siasat terhadap semua suspek, polis sekali lagi membuat serbuan ke sebuah rumah di Saujana Utama, Sungai Buloh jam 7.15 malam dan menahan dua lelaki berusia antara 39 hingga 41 tahun.

“Semua suspek direman tujuh hari sehingga 8 April ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2016 @ 7:37 AM