Nur Lela Zulkipli
nurlela@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Usaha memartabatkan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris perlu bergerak seiring dalam sistem pendidikan negara bagi mencapai hasrat menjadikan kedua bahasa berkenaan sebagai bahasa sumber dan bahan ilmu.

Hasrat yang dilaksanakan melalui Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) sejak 2010 itu, bagaimanapun tidak akan menjejaskan kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara, malah usaha itu adalah untuk menangani masalah ketidakcekapan rakyat dalam berbahasa Inggeris yang dilihat sebagai kelemahan dalam sistem pendidikan di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Prof Dr Zaharani Ahmad berkata, pihaknya bersama-sama agensi dan badan terbabit sentiasa meneruskan inisiatif memartabatkan bahasa Melayu ke tahap yang lebih tinggi menerusi pelbagai aktiviti dan strategi berkesan.

Antara strategi yang giat dijalankan adalah pendekatan Modular Kurikulum bahasa Melayu yang menekankan penguasaan kemahiran berbahasa diperkukuh melalui pendekatan modular bersepadu, seimbang dan holistik dalam modul Pengajaran dan Pembelajaran (PnP).

“Kepentingan berbahasa juga termasuk dalam strategi dalam memartabatkan Bahasa Malaysia dilakukan secara berstruktur dan sistematik tanpa mengetepikan peranan didik hibur iaitu menyediakan suasana pembelajaran menyeronokkan dan menarik.

“Kemahiran mendengar, bertutur, membaca, menulis, tatabahasa dan seni bahasa akan disulam dengan aktiviti penerokaan, pencarian maklumat, pelaporan dan juga penghasilan inovasi bermula di peringkat sekolah rendah lagi,” katanya.

Sementara itu, bagi penyelaras Memartabat Bahasa Melayu (MBM) Lokman Abdul Wahid, program bacaan seperti Komponen Sastera dalam bahasa Melayu (KOMSAS) banyak menyumbang kepada peningkatan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar sekolah selain program Bacaan Awal Berstruktur dan NILAM yang masih diteruskan sehingga kini.

Menurut Lokman, golongan yang memainkan peranan penting dalam menjayakan usaha kerajaan ini adalah guru bahasa Melayu yang sentiasa memastikan kualiti dari segi ilmu pedagogi.

“Guru digalakkan menghadiri kursus peningkatan profesionalisme yang memberikan pendedahan tentang perkembangan terkini ilmu pedagogi dan juga perkembangan bahasa daripada pakar dari dalam dan luar negara.

“Persekitaran kondusif juga perlu diwujudkan yang membabitkan pemantauan daripada aspek kebersihan, keceriaan dan keselamatan di sekolah. Perkara ini dipertingkatkan dari masa ke semasa bagi memastikan saiz kelas serta keadaan fizikal bilik darjah lebih sesuai untuk PnP,” katanya.

Mendepani cabaran pembelajaran pada abad ke-21, sukar bagi pelajar yang sentiasa terdedah dengan media sosial yang kebanyakannya memaparkan penggunaan kosa kata dan ejaan bercampur.

Pengarah Pusat Latihan Bahasa Inggeris (ELTC) Dr Mohamed Abu Bakar berkata, pihaknya menyedari cabaran yang dihadapi pelajar dalam usaha mengukuhkan bahasa Inggeris dalam pembelajaran dan kehidupan seharian.

“Kami komited dalam usaha menjadikan bahasa Inggeris berdiri setanding bahasa Melayu dengan melatih tenaga pengajar bagi subjek bahasa Inggeris menghampiri 18,000 orang menjelang 2018 di sekolah seluruh negara, termasuk luar bandar.

“Lawatan khas lebih diperlukan di sekolah luar bandar yang mana peratusan lulus dan cemerlang dalam subjek bahasa Inggeris lebih rendah berbanding sekolah di bandar iaitu hanya 77 peratus.

“Jadi, kita menjangkakan peningkatan sebanyak lima peratus dalam pengukuhan bahasa Inggeris menjelang 2020 dengan kerjasama daripada beberapa pihak seperti ibu bapa, guru, badan bukan kerajaan, (NGO) dan juga orang awam,” katanya.

Beliau yang menerajui Program Imersif Tinggi (HIP) optimis usaha meningkatkan penggunaan dan penguasaan Bahasa Inggeris melalui pendedahan dan penyertaan aktif murid dalam aktiviti bahasa Inggeris di sekolah.

“Menerusi HIP yang menyokong Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, galakan penuh ditujukan khas kepada pemimpin sekolah untuk merancang aktiviti berbahasa Inggeris di sekolah.

“Program HIP berdasarkan konsep pembabitan seluruh warga sekolah adalah faktor kritikal dalam memastikan pencapaian objektif serta kelestarian dan kemampanan aktiviti HIP dapat dicapai,” katanya.

Justeru, dengan pelaksanaan MBMMBI, kerajaan percaya melalui pendekatan yang dijalankan mampu memartabatkan bahasa Melayu, memperkukuh bahasa Inggeris, sekali gus meningkatkan keupayaan pelajar menguasai ilmu sains dan teknologi yang penting untuk masa depan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2016 @ 5:43 AM