MD Yusop menunjukkan tangan kirinya yang berbalut akibat dipukul dengan besi paip.
Amran Yahya
am@hmetro.c

am@hmetro.c om.my

Kuala Pilah : Dia tahu kudratnya tidak lagi kuat untuk melawan namun seorang bilal warga emas tetap menggagahkan diri berlari sambil menahan kesakitan untuk meminta bantuan penduduk selepas dibelasah lelaki tidak dikenali dalam kejadian di Kampung Talang Tengah, Tanjung Ipoh, dekat sini, Ahad lalu.

Kejadian jam 5.40 pagi itu berlaku ketika mangsa, Md Yusop Adam, 67, dalam perjalanan ke surau di kampung berkenaan untuk melaungkan azan Subuh sebelum motosikal ditungganginya ditahan lelaki tidak dikenali bersenjatakan besi paip.

Tanpa memberi salam atau menegurnya, lelaki itu mengeluarkan besi lalu membelasahnya tanpa belas kasihan menyebabkan mangsa terjatuh daripada motosikal.

Malah, rayuan mangsa terhadap lelaki yang memakai topi keledar penutup penuh itu supaya berhenti membelasahnya tidak diendahkan sebelum mangsa tersungkur akibat kesakitan.

Mengimbau semula kejadian menimpanya, Md Yusop berkata, dia yang dilantik bilal sejak lima tahun lalu tidak mengesyaki sesuatu yang mencurigakan sebaik keluar dari rumahnya pada awal pagi hari kejadian.

Menurutnya, ketika baru bergerak 500 meter dari rumahnya, sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki tiba-tiba memotong dan menahan motosikalnya.

“Belum sempat saya bertanya, lelaki itu terus membelasah menyebabkan saya terjatuh daripada motosikal. Lelaki terbabit cuba menghentak kepala, namun saya menahan menggunakan kedua-dua tangan menyebabkan pergelangan tangan kiri retak.

“Cara lelaki itu memukul seolah-olah mahu saya mati. Dalam keadaan tidak berdaya, saya melarikan diri meminta bantuan jiran berhampiran.

“Lelaki itu sedikit pun tidak berundur, malah terus memukul hingga muka dan badan saya berlumuran darah,” katanya ditemui di rumahnya, semalam.

Katanya, sebaik tiba berhampiran rumah jiran, dia menjerit meminta tolong dan ketika itu, baru lelaki berkenaan beredar dan melarikan diri.

“Jiran yang terdengar jeritan saya keluar dan memberi bantuan sebelum menghantar saya ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Saya tidak tahu punca kejadian kerana tidak pernah bermusuh dengan sesiapa, jauh sekali mengganggu mana-mana pihak,” katanya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah pada hari kejadian.

Menurutnya, akibat insiden itu, dia ditahan empat hari di wad Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini.

“Saya menerima beberapa jahitan di perut manakala pergelangan tangan kiri dibedah akibat tulang retak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintendan Luqman Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Beliau berkata, siasatan masih dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil atau menghubungi balai polis berdekatan untuk membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2016 @ 4:55 AM