JURURAWAT serta kakitangan Jabatan Kesihatan Perlis membantu Rohana melahirkan bayi.

Kangar: Seorang pesawah, Ismail Mat, 43, yang menempuh detik cemas ketika menemani isterinya, Rohana Md Isa, 37, dari Sanglang, Kedah ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, semalam untuk bersalin, menyifatkannya sebagai perjalanan panjang yang sukar dilupakan sepanjang hayatnya.

Ini berikutan isterinya melahirkan bayi berkenaan dalam kereta di hadapan pejabat Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis dengan dibantu dua jururawat yang secara kebetulan sedang berkursus di klinik itu.

Ibu dan anaknya kemudian dihantar ke HTF untuk pemeriksaan lanjut.

Ikuti pengalaman Ismail yang diceritakan kepada wartawan Aizat Sharif ketika ditemui di Wad Bersalin HTF, semalam.

“Sekitar jam 6.30 pagi, isteri mengadu sakit pinggang sambil menyatakan mahu segera ke hospital untuk melakukan pemeriksaan terhadap kandungannya.

Saya terus mengajak sepupu dan menyuruhnya memandu kereta manakala saya bersama isteri berada di tempat duduk belakang untuk memastikan dia dalam keadaan baik.

Ketika perjalanan hampir melewati Jalan Raja Syed Alwi berhampiran pejabat JKN Perlis, isteri yang ketika itu menahan sakit pinggang tiba-tiba mengadu kepala bayi hampir keluar.

Keadaan itu menyebabkan saya panik kerana hospital masih jauh dan akibat tiada pilihan, saya menyuruh sepupu memberhentikan kereta di hadapan pintu masuk JKN Perlis dengan harapan akan ada orang yang membantu.

Saya terus meminta bantuan pengawal keselamatan di pondok pengawal yang kemudian meminta bantuan beberapa jururawat yang berada di situ untuk membantu kami.

Terus terang saya seperti tidak tahu apa nak dibuat.

Dalam keadaan genting, dua jururawat (Hamizon Ahmad dari Klinik Kesihatan Kuala Sanglang dan Marizah Md Zain dari Klinik Kesihatan Simpang Empat) yang berada di situ kerana mengikuti kursus kejururawatan tampil memberikan bantuan kecemasan kepada isteri untuk menyambut kelahiran bayi kami dalam kereta.

Alhamdulillah, bayi kami dilahirkan dengan selamat selepas kedua-dua jururawat terbabit memberikan bantuan.

Bayi itu juga diiqamatkan seorang doktor yang bertugas di JKN Perlis sebelum dibawa ke hospital bersama isteri untuk pemeriksaan selanjutnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2016 @ 9:24 AM