ABANG Ar merangkap Orang Kena Pengawasan (OKP) memenangi pertandingan Tilawah Al-Quran peringkat AADK Kelantan.
Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Kepuasan berganda dicapai seorang bekas penagih dadah apabila menjadi johan Majlis Tilawah Al-Quran 2016 Kategori Kakitangan dan Klien Peringkat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan, semalam.

Bukan pengiktirafan yang dikejarnya, sebaliknya kepuasan apabila mampu menghayati al-Quran dan mendalaminya untuk terus dekat dengan Allah SWT.

Qari kategori klien itu yang mahu dikenali sebagai Abang R, 24, berkata, kali pertama menyertai majlis tilawah itu sudah dianggapnya penghargaan terbesar selepas dirinya sebelum ini rosak akibat dadah.

“Saya sepatutnya tidak bertanding, namun saat terakhir perlu menggantikan peserta lain.

“Kepercayaan yang diberikan rakan serta pegawai AADK memberi kekuatan untuk saya bertanding dengan mereka yang lebih berpengalaman dalam ilmu taranum dan qiraat.

“Persediaan saya lakukan pula hanya beberapa jam sebelum majlis berlangsung memandangkan proses pengundian dibuat untuk pilih surah yang perlu dibaca.

“Saya gembira apabila dinobatkan sebagai qari terbaik. Cukuplah selama ini saya merosakkan diri serta bergelumang dengan dosa apabila terjebak dengan najis dadah selama tiga tahun,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Rawatan dan Pemulihan AADK Kelantan Khairul Azmi Ahmad berkata, majlis tilawah terbabit yang diadakan setiap tahun adalah platform terbaik untuk mencungkil bakat klien atau Orang Kena Pengawasan.

Katanya, ia juga diadakan susulan inisiatif AADK mengadakan kelas agama dan bacaan al-Quran untuk setiap klien.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2016 @ 10:22 AM