LAPORAN Harian Metro, semalam.
myMetro

Kota Bharu: Pesakit kanser mata, Aminah Mohamad Amin, 4, bakal memiliki mata palsu bagi menggantikan organ itu yang rosak dalam masa terdekat.

Meskipun pemakaian bola mata itu tidak mampu mengembalikan semula penglihatan kanak-kanak istimewa terbabit, namun ia dapat menutup kekurangan Aminah yang kehilangan organ penglihatan selepas menjalani pembedahan tahun lalu.

Pakar Perunding Oftalmologi Kanak-Kanak Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Profesor Shatriah Ismail berkata, bola mata palsu itu sudah disediakan dan perbincangan akan diadakan dengan ibu bapa Aminah untuk fasa seterusnya.

“Pemakaian prostesis bola mata ini kelihatan seakan-akan bola mata asli dan proses memasangnya akan diadakan dalam masa terdekat.

“Buat masa sekarang, Aminah sudah pun memakai bola mata palsu di mata kirinya yang diperbuat daripada bahan akrilik seakan-akan kaca untuk mengelakkan rongga mata menjadi kempis,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Harian Metro semalam melaporkan kisah Aminah yang menghidap kanser mata sejak berumur enam bulan dan cuba hidup seperti kanak-kanak normal lain.

Sel kanser yang menyerang itu menyebabkan mata kirinya terpaksa dibuang manakala mata kanan pula mengecut akibat rawatan kemoterapi sekali gus melenyapkan deria penglihatannya.

Setiap pagi, Aminah akan meminta supaya dibuka tingkap rumah untuk ‘melihat’ kanak-kanak lain bermain seolah-olah dia mampu melihat dengan mata kasar.

Shatriah berkata, berdasarkan pemantauan dan rawatan yang dijalankan, keadaan anak istimewa itu kini dilihat semakin baik, namun masih memerlukan pemantauan.

“Secara fizikal keadaan Aminah semakin baik kerana dia bermula dengan kanser agresif di peringkat bayi berbanding kes biasa yang dihidap pesakit bermula usia setahun setengah.

“Pemantauan masih dibuat dari semasa ke semasa bagi mengelakkan sel kanser muncul semula,” katanya.

Shatriah berkata, sejak pembedahan membuang mata kiri Aminah tahun lalu, tiada sel kanser dikesan merebak ke bahagian lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2016 @ 9:01 AM