SISTEM Transit Aliran Ringan (LRT) IOI Puchong Jaya akan dibuka bermula 1 April depan.
myMetro

Puchong: Pembukaan empat stesen baharu Transit Aliran Ringan (LRT) Rapid KL di sini, mulai 1 April ini dijangka menarik lebih ramai penumpang menggunakan perkhidmatan awam itu berikutan lokasi strategik dan kemudahan ‘park & ride’.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA) Datuk Azmi Abdul Aziz berkata, buat masa ini laluan LRT Ampang merekodkan 195,000 penumpang sehari dan pembukaan empat stesen iaitu IOI Puchong Jaya, Pusat Bandar Puchong, Taman Perindustrian Puchong serta Bandar Puteri dijangka menambah 130,000 penumpang baharu.

Katanya, Stesen IOI Puchong mempunyai 470 parkir kereta dan 95 parkir motosikal, Stesen Pusat Bandar Puchong mempunyai 122 parkir kereta dan 90 parkir motosikal, Stesen Taman Perindustrian Puchong mempunyai 350 parkir kereta dan 164 parkir motosikal manakala Stesen Bandar Puteri hanya memiliki kemudahan ‘drop off’ disebabkan kekurangan tempat.

“Perjalanan antara lapan stesen baharu (termasuk empat stesen terdahulu bagi laluan Ampang iaitu Awan Besar, Muhibbah, Alan Sutera dan Kinrara BK5) dan stesen Sri Petaling akan menggunakan perkhidmatan tren enam gerabak, iaitu AMY.

“Sehingga peralihan penuh sistem isyarat, pengguna perlu menukar tren di stesen Sri Petaling,” katanya dalam sidang media Taklimat Projek Penyambungan Laluan LRT (LEP) Ampang di Stesen LRT IOI Puchong Jaya di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar dan CEO SPAD Mohd Azharuddin Mat Sah.

Terdahulu, media dan delegasi SPAD serta PRASARANA dibawa menaiki LRT melalui keempat-empat stesen baharu itu bagi meninjau operasi dan kemajuannya yang sudah hampir 100 peratus siap.

Azmi berkata, pihaknya akan mencadangkan penukaran nama Stesen Taman Perindustrian Puchong kepada nama lain yang lebih komersial dan ‘catchy’ bagi golongan muda kerana nama perindustrian lebih menunjukkan kepada kawasan kilang.

Mengulas mengenai kadar tambang LRT itu, beliau berkata, pihaknya akan mengenakan tambang seperti diluluskan SPAD dan tidak bercadang memberi tawaran tambang percuma seperti dibuat pada pelancaran empat stesen terdahulu iaitu Awan Besar, Muhibbah, Alam Sutera dan Kinrara BK5.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2016 @ 8:38 AM