myMetro

Georgetown: Kawasan perairan negara yang dianggap ‘lubuk’ membuatkan ramai nelayan warga asing tidak serik menangkap ikan walaupun mengetahui ia menjadi kesalahan dan bakal menerima hukuman.

Malah, pelbagai alasan diberikan golongan berkenaan antaranya tidak tahu perbuatan mereka salah selain mendakwa kawasan mereka tiada ikan.

Terbaru, empat nelayan warga Indonesia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di 38.8 batu nautika Barat Daya Pulau Kendi, pagi semalam, kerana didapati menceroboh perairan negara.

Malah, seorang daripada mereka didapati pernah ditahan sebelum ini kerana kesalahan sama, namun tidak serik berikutan mendakwa kawasan terbabit mudah mendapat ikan.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Daerah Maritim 2 Pulau Pinang Komander Maritim Azman Samsudin berkata, semua nelayan berusia 16 hingga 20 tahun itu ditahan pada jam 9 pagi semalam.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati mereka yang terdiri daripada seorang tekong dan tiga awak-awak itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah.

“Berikutan itu, kami menahan dan merampas 100 kilogram (kg) hasil tangkapan dan siasatan mendapati mereka hanya menggunakan joran ketika menangkap ikan.

“Kami turut merampas bot tanpa nombor pendaftaran yang dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Azman berkata, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 Seksyen 15 (1) (A) kerana melakukan kesalahan menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

“Jika sabit kesalahan, tekong boleh didenda maksimum sehingga RM1 juta dan RM100,000 bagi awak-awak,” katanya.

Azman berkata, bermula Januari lalu hingga semalam, pihaknya merampas lapan bot nelayan yang didapati menceroboh kawasan perairan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2016 @ 10:32 AM
ANGGOTA APMM merampas bot nelayan Indonesia yang menceroboh perairan negara.