NOH menyelamatkan seorang pekerja SEB daripada lemas di Kampung Bako Ulu, semalam.

Santubong: Tindakan pantas anggota Pasukan Bomba Sukarelawan (PBS) Bako Indah, menyelamatkan nyawa seorang pekerja Sarawak Energy Berhad (SEB) dari lemas akibat terjatuh dari jeti Kampung Bako Ulu di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9 pagi, dua lelaki yang bekerja sebagai pembaca meter SEB pergi ke kampung itu untuk memeriksa meter elektrik.

Bagaimanapun, seorang daripada pekerja, dikenali sebagai Swee, berusia lingkungan 30-an tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai ketika berjalan di atas jeti.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Kuching Tiong Ling Hii berkata, kejadian disedari Pengerusi PBS Bako, Noh Yahim yang kebetulan sedang membuat rumah di lokasi berhampiran.

Menurutnya, Noh bergegas menaiki bot untuk membantu mangsa yang sedang terkapai-kapai dalam sungai sambil meminta tolong.

“Noh berjaya mencapai tangan mangsa dengan pantas menariknya dalam bot.

“Mangsa kemudian diserahkan kepada pembantu perubatan untuk dibawa ke Klinik Kesihatan Bako menggunakan ambulans bagi pemeriksaan lanjut,” katanya.

Tiong berkata, seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya turut pergi ke lokasi kejadian.

“Noh adalah pengerusi PBS Bako Indah yang aktif dalam aktiviti yang dijalankan bomba. PBS Bako Indah adalah antara pasukan yang paling aktif setakat ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2016 @ 7:30 AM