KEADAAN kereta dan pikap yang terbabit kemalangan di jambatan menghala Mid Valley, semalam.
Oleh Nadzreen Shah Mat Salim
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: “Saya lihat pacuan empat roda itu ‘terbang’ sebelum menghempap kereta dipandu seorang wanita,” kata pemandu teksi, Abdul Aziz Abdullah, 43, berhubung kemalangan ngeri di Jalan Bangsar menghala pusat beli-belah Mid Valley, di sini.

Dalam kejadian jam 2 petang semalam, mangsa, Chong Chee Hooi, 49, maut apabila kereta Proton Saga dipandunya dihempap kenderaan pacuan empat roda model Mitsubishi Triton yang hilang kawalan.

Abdul Aziz berkata, kemalangan berlaku ketika dia memandu teksinya di belakang kereta mangsa.

“Pacuan empat roda itu datang dari arah bertentangan dan merempuh pembahagi jalan sebelum menghempap kereta mangsa.

“Saya yang terkejut memberhentikan kenderaan untuk melihat keadaan mangsa yang cedera parah di kepala,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, terdapat seorang lelaki bersama dua anaknya yang masih berpakaian sekolah di dalam pacuan empat roda itu.

“Pemandu dan kedua-dua penumpang pacuan empat roda itu tidak mengalami sebarang kecederaan ketika dibawa keluar oleh anggota bomba,” katanya.

Sementara itu komander operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Salmy Abdul Mukti berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2.10 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai dan (BBP) Hang Tuah dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Dua kenderaan didapati terbabit dalam kemalangan dan seorang mangsa maut di lokasi kejadian.

“Anggota bomba terpaksa mengalihkan kenderaan pacuan empat roda yang berada di atas kereta mangsa bagi membolehkan mangsa yang maut dikeluarkan dari dalam kereta,” katanya.

Menurutnya, anggota bomba mengambil masa 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Kami terpaksa memotong pintu kereta untuk mengeluarkan mayat mangsa,” katanya.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk di bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2016 @ 8:10 AM